DALOT (kiri) meraikan jaringannya bersama Cristiano Ronaldo. FOTO EPA
DALOT (kiri) meraikan jaringannya bersama Cristiano Ronaldo. FOTO EPA
AFP

Prague: Pemain pertahanan, Diogo Dalot menjaringkan dua gol ketika Portugal menewaskan Republik Czech 4-0 di Prague, hari ini dan hanya memerlukan satu mata lagi untuk mara ke aksi playoff Liga Negara-Negara.

Portugal, yang memenangi edisi pertama Liga Negara-Negara pada 2019, mendahului Kumpulan 2 dengan 10 mata, dua mata di depan Sepanyol yang dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Switzerland.

Portugal menerima kunjungan Sepanyol, Rabu ini pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Dalot membuka tirai jaringan pada minit ke-33 apabila dia menewaskan penjaga gol Czech, Tomas Vaclik selepas menerima hantaran Rafael Leao.

Bruno Fernandes menjadikan kedudukan 2-0 pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas menerima hantaran silang Mario Rui sekali gus menyaksikan Vaclik tewas lagi.

Seminit kemudian, tuan rumah mensia-siakan sepakan penalti apabila rembatan Patrik Schick melepasi palang.

"Separuh masa pertama adalah cemerlang. Pemain mempamerkan kualiti yang sangat baik.

"Kami melakukan persiapan rapi untuk perlawanan ini dan tidak memberi banyak peluang kepada lawan untuk menyerlah.

"Apabila kami menjaringkan gol kedua, kegagalan Czech menyempurnakan sepakan penalti semakin menyukarkan mereka manakala kami kekal fokus dan akhirnya meraih kemenangan," kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

Dalot menambah gol peribadi kedua minit ke-52 sebelum pemain gantian, Diogo Jota menanduk masuk gol keempat pada minit ke-82.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 8:01 AM