PEMAIN Portugal (dari kiri) Goncalo Ramos, Cristiano Ronaldo dan Joao Mario berlatih menjelang perlawanan dengan Sepanyol. FOTO EPA
PEMAIN Portugal (dari kiri) Goncalo Ramos, Cristiano Ronaldo dan Joao Mario berlatih menjelang perlawanan dengan Sepanyol. FOTO EPA
Agensi

Lisbon: Portugal dan Sepanyol akan berentap di Estadio Municipal, awal pagi Rabu dalam aksi Liga A Kumpulan 2 Liga Negara-Negara untuk memburu tempat ke separuh akhir.

Portugal yang dikendalikan Fernando Santos menewaskan Republik Czech 4-0 pada perlawanan sebelum ini, manakala Sepanyol tergelincir dari tangga teratas selepas tewas 1-2 kepada Switzerland.

Ketiadaan Joao Cancelo tidak menjejaskan Portugal.

Pemain Manchester City itu sekadar menjadi pemerhati ketika aksi menentang Republik Czech apabila Diogo Dalot menjadi wira dengan dua gol dalam kemenangan itu.

Diogo Jota dan Bruno Fernandes turut menjaringkan gol untuk skuad kendalian Santos yang kini berpeluang mara ke separuh akhir, dan meraih gelaran kedua kejohanan itu dalam tempoh tiga tahun.

Berbekalkan 10 mata dikutip daripada 15 mata ditawarkan, juara edisi 2018/19 itu mengatasi Sepanyol untuk tangga teratas dengan berbaki satu perlawanan berbaki dan keputusan seri sudah mencukupi buat skuad Selecao untuk mara.

Kegagalan Republik Czech menggegarkan gawang pada Sabtu membolehkan Portugal meraih kemenangan bersih ketiga daripada empat perlawanan Liga Negara-Negara dan mereka hanya dibolosi dua kali sepanjang kejohanan kali ini - rekod pertahanan terbaik di antara 16 pasukan Liga A.

Portugal akan melayan Sepanyol di laman sendiri selepas mereka menang empat perlawanan dalam semua kejohanan sebelum ini.

Mereka hanya gagal menang dua daripada sembilan aksi Liga Negara-Negara di depan penyokong sendiri setakat ini.

Sepanyol kendalian Luis Enrique mensia-siakan peluang untuk terus mendahului kumpulan apabila dikejutkan Switzerland sebelum ini.

Jordi Alba menyamakan kedudukan untuk La Roja selepas Manuel Akanji membuka jaringan Switzerland, tetapi Breel Embolo kembali meletakkan Switzerland di depan, sekali gus menjelmakan kekalahan pertama buat Sepanyol di laman sendiri dalam tempoh empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 10:10 PM