KEKECOHAN tercetus selepas pengadil melayangkan kad merah ke atas seorang pemain Wilayah Persekutuan ketika menentang  Pulau Pinang. FOTO Bernama
KEKECOHAN tercetus selepas pengadil melayangkan kad merah ke atas seorang pemain Wilayah Persekutuan ketika menentang Pulau Pinang. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ternyata kesal berikutan insiden kejar pengadil yang berlaku pada aksi separuh akhir bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2022 antara Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, semalam.

Menurutnya, ketegangan mungkin berlaku dalam mana-mana perlawanan sukan apatah lagi pemain, pegawai pasukan sudah pasti mahu mencari kemenangan namun baginya, peristiwa sebegitu harus dijadikan teladan dan tidak berulang lagi pada masa akan datang.

"Amat kita kesali. Saya faham mengenai detik kita bersungguh-sungguh nak mengejar mata atau dapatkan gol. Tentu ketegangan itu ada kerana kita bermain bersungguh-sungguh.

"Begitu juga dengan pegawai di luar padang yang hendakkan kemenangan dan sebagainya sehingga mengakibatkan perkara sebegitu berlaku. Namun saya berpandangan, ia tidak seharusnya berpanjangan.

"Ia seharusnya terhenti di situ dan akhirnya apa yang jelas, kita semua peminat sukan ini yang kadangkala tidak setuju dengan keputusan pengadil, tak suka tindakan pemain daripada pasukan lawan dan sebagainya tetapi akhirnya kita berada di sini, di Sukma untuk mencungkil bakat baharu dan membangunkan sukan negara.

"Jadi perlu ada dalam pemikiran kita, selain nak mengejar kemenangan, yang jauh lebih penting adalah memajukan sukan itu sendiri.

"Selain daripada itu juga, Sukma adalah satu medan untuk mengeratkan silaturahim, menguatkan ukhwah antara negeri, pemain dan pegawai untuk kita majukan sukan kita, bukan untuk bertelagah.

"Saya harap perkara ini sudah pun berlaku dan tentu ada teladan yang perlu kita jadikan sempadan dan dijadikan contoh. Belajar daripada kesilapan dan terus maju ke depan. Saya harap perkara ini, tidak akan berlaku lagi sehingga bila-bila," kata Ahmad Faizal dalam sidang media selepas Majlis Santai bersama Ketua Syarikat Pemain Industri Sukan Malaysia dan 'soft launch' Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur (EISKL) 2022, hari ini.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium UiTM semalam, perlawanan dicemari insiden kekecohan di penghujung perlawanan sehingga menyaksikan seorang individu dipercayai barisan kejurulatihan Wilayah Persekutuan dilayangkan kad merah kerana mengejar pengadil.

Pulau Pinang meraih kemenangan 1-0 ke atas Wilayah Persekutuan dan semakin hampir untuk mencipta sejarah meraih emas pertama acara 'ibu emas'. Pulau Pinang dijadual bertemu Terengganu pada aksi final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 2:30 PM