DATUK Seri Dr Shahidan Kassim bersama para atlet Sukan Malaysia (Sukma) Wilayah Persekutuan. FOTO Bernama
DATUK Seri Dr Shahidan Kassim bersama para atlet Sukan Malaysia (Sukma) Wilayah Persekutuan. FOTO Bernama
Oleh Affan Rostam


Putrajaya: Sebanyak 70 pingat emas menjadi sasaran kontinjen Wilayah Persekutuan dalam usaha memastikan matlamat untuk muncul juara Sukan Malaysia (Sukma) 2022 tercapai.

Untuk temasya yang sudah memasuki edisi ke-20 ini menyaksikan Wilayah Persekutuan menghantar kontinjen terbesar iaitu seramai 736 atlet dan pegawai serta akan menyertai kesemua 31 jenis sukan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sasaran yang diletakkan itu adalah rasional dengan melihatkan prestasi semasa atlet selain menegaskan kali ini adalah misi wajib menang.

"Sasaran ini berdasarkan perkiraan prestasi semasa atlet Wilayah Persekutuan pada ketika ini. Kami yakin dengan latihan yang dibuat dan boleh meraih 70 emas itu.

"Kita sewajarnya jadi juara sebab kali ini kita tuan rumah dan bertanding dalam semua acara. Kita berlawan di sini dan kita berlatih di sini, kita patut menang.

"Oleh itu, saya menuntut komitmen dan usaha bersungguh-sungguh daripada setiap atlet untuk memastikan sasaran ini tercapai," katanya pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukma 2022 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya, semalam.

Sementara itu, Shahidan berkata, atlet yang memenangi pingat di dalam temasya kali ini bakal menerima insentif daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.

"Atlet yang meraih pingat emas acara individu bakal menerima RM5,000, pingat perak RM2,000 dan pingat gangsa RM1,000. Manakala, emas acara berpasukan bakal menerima RM3,000-RM4,000, perak RM1000-RM1,500 dan gangsa RM500-700.

"Bagi atlet yang memecahkan rekod kebangsaan dan juga rekod Sukma sudah pasti ganjarannya akan dilebihkan, ia tidak termasuk lagi ganjaran khas yang menanti kontijen," katanya.

Untuk rekod, pada Sukma Perak 2018, Wilayah Persekutuan menamatkan saingan di tempat kedua selepas mengumpul 52 emas, 38 perak dan 49 gangsa sementara Terengganu bergelar juara dengan kutipan 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Kali terakhir kontinjen Wilayah Persekutuan muncul juara adalah pada Sukma 2014 di Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 2:44 PM