SEORANG pegawai dilihat menghampiri pengadil. FOTO Agensi
SEORANG pegawai dilihat menghampiri pengadil. FOTO Agensi
Firdaus Hashim & Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Insiden pergaduhan mencemari aksi separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) antara Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan (WP) yang berlangsung di Stadium Mini Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, malam tadi.

Aksi yang berkesudahan dengan Pulau Pinang mara ke pentas final selepas menang 1-0 ke atas Wilayah Persekutuan menyaksikan bakal berdepan Terengganu untuk perebutan pingat emas pada Jumaat ini.

Mohd Danial Irfan Mohd Nadzri berjaya menyempurnakan sepakan penalti minit ke-37 untuk gol tunggal perlawanan.

Begitupun aksi terbabit dihidangkan insiden kekecohan di hujung permainan selepas pemain Wilayah Persekutuan dilayangkan kad merah pada minit ke-88.

Susulan itu, kelihatan seorang pegawai pasukan Wilayah Persekutuan masuk ke padang dan mengejar pengadil seolah mahu menumbuk kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

Pengadil dilihat terpaksa berlari menyelamatkan daripada tengah padang ke tempat duduk simpanan pasukan Pulau Pinang.

Pasukan keselamatan terpaksa campur tangan bagi menenangkan keadaan itu, di mana video insiden berkenaan ketika ini sedang tular di media sosial.

Tindakan pegawai Wilayah Persekutuan itu pastinya mengundang padah dan boleh dikenakan hukuman oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta penganjur Sukma edisi ini.

Terdahulu di sebelah petang, Terengganu terlebih dulu menempah slot ke final selepas menewaskan Selangor dengan 2-1 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Final akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 11:13 PM