ATLET karate kebangsaan, P Madhuri memenangi pingat emas acara kumite 55kg wanita. FOTO FAIZ ANUAR
ATLET karate kebangsaan, P Madhuri memenangi pingat emas acara kumite 55kg wanita. FOTO FAIZ ANUAR
Saiful Affendy Sapran


Shah Alam: P Madhuri membuktikan statusnya selaku atlet karate kebangsaan apabila memenangi pingat emas acara kumite 55 kilogram (kg) wanita pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.

Dia yang beraksi untuk Kedah, menewaskan lawan dari Sabah, Michell Linus menerusi keputusan 8-0, sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama untuk Kedah.

"Saya merasai sedikit tekanan sebagai atlet kebangsaan, tetapi ia satu perlawanan yang bagus.

"Saya perlu buktikan status sebagai atlet kebangsaan, jadi perlu berikan persembahan yang luar biasa kepada semua orang.

"Saya anggap tekanan ini sebagai satu motivasi yang positif dan saya gembira untuk pingat emas pertama buat Kedah pada Sukma kali ini," katanya.

Sementara itu, atlet Wilayah Persekutuan, G Dharishini pula memenangi emas kategori kumite 50kg selepas menewaskan wakil Johor, Chelvam Yoshanaa dengan keputusan 1-0.

Atlet Terengganu, Siti Nur Azwani Nor Azli mengungguli kategori kumite 61kg wanita menerusi kemenangan 2-0 ke atas wakil Pulau Pinang, Pathiyanathan Naveena.

Kategori kumite 55kg lelaki pula menyaksikan atlet Pulau Pinang, Kalianna Sundram Thevendran memenangi emas manakala pingat emas kumite 60kg dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Vijaya Kumar Kueggen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 8:01 PM