SYAMER (dua dari kiri) dirai rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pembukaan.
SYAMER (dua dari kiri) dirai rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pembukaan.

Kuching: Negeri Sembilan bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk meraih satu mataselepas seri 2-2 ketika bertemu Pulau Pinang.

Pulau Pinang yang sebelum ini tumpas 0-1 kepada juara bertahan Perak, berada di depan pada minit ke-16 melalui jaringan Syamer Kutty Abba di Padang D Kompleks Sukan Sarawak, Petra Jaya.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan bangkit pada separuh masa kedua apabila memperoleh gol penyamaan menerusi N Thanabalan pada minit ke-51 ketika Pulau Pinang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Hasrul Che Halim menerima kad kuning kedua seminit kemudian.

Pulau Pinang masih lagi bersemangat dan mampu berada di depan sekali lagi, kali ini menerusi jaringan Junaidi Shafiai pada minit ke-60 sebelum Thanabalan muncul menyelamat dengan menanduk masuk sepakan sudut R Gopinath masa kecederaan.

Selepas pengadil Izzat Izani Ali meniup wisel penamat, berlaku sedikit ketegangan antara kedua-dua pasukan namun pegawai pertandingan dan pihak keselamatan berjaya meleraikan kekecohan itu.

Keputusan itu menyaksikan Negeri Sembilan hanya perlu seri pada perlawanan terakhir Kumpulan D bertemu Perak esok untuk mencari slot ke suku akhir.

Menurut jurulatih Negeri Sembilan Ahmad Fairuz Yunus, beliau kurang berpuas hati dengan prestasi anak buahnya termasuk beberapa keputusan pengadil.

“Ini perlawanan pertama kami, ia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri namun saya berasa lega kami meraih satu mata.

“Kami juga agak lalai dan banyak melakukan kesilapan terutama di bahagian pertahanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 11:59 AM