KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee. FOTO ihsan SABAH FC
KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee. FOTO ihsan SABAH FC
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pemain muda Sabah FC yang diturunkan dalam beberapa perlawanan Liga Super sebelum ini diingatkan terus kekal konsisten termasuk menentang Sarawak United FC di Stadium Likas, malam esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, ini penting bagi memastikan pemain akan mendapat tahap kecerdasan cukup baik.

"Saya berharap pemain muda yang diturunkan akan terus kekal konsisten jika mereka diberikan peluang untuk bermain.

"Ini penting untuk kita mendapatkan pemain dalam tahap kecerdasan yang cukup baik kerana bermain banyak perlawanan sebelum ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kim Swee berkata, ketika ini beberapa pemain masih mengalami kecederaan termasuk Gary Stephen Robbat, Stuart Wilkin dan Jackson De Souza.

Namun, beliau akan melihat situasi dan keadaan pemain ini sebelum perlawanan menentang Sarawak United FC bermula.

Sementara itu, Kim Swee berkata, penyerang veteran, Mohd Amri Yahyah akan sentiasa dalam senarai pasukan berdasarkan kelebihan dimiliki pemain berpengalaman itu.

"Amri Yahyah akan sentiasa berada dalam senarai kerana kita tahu kelebihannya dan yang penting beliau terus menunjukkan prestasi baik jika diturunkan.

"Saya percaya Amri mampu menjalankan tugas dengan baik apabila diberi ruang untuk bermain pada bila-bila masa," katanya.

Kim Swee berkata, meskipun Sarawak United dibimbing jurulatih baharu, l S Balachandran tidak menunjukkan prestasi begitu baik ketika ini, kemasukan pengendali baharu itu membawa banyak perubahan kepada corak permainan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 8:22 PM