PEMAIN Sabah FC meraikan kemenangan bersama penyokong. FOTO Mohd Adam Arinin
PEMAIN Sabah FC meraikan kemenangan bersama penyokong. FOTO Mohd Adam Arinin
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee puji semangat tidak mengalah pemain Sabah FC hingga berjaya menewaskan Melaka United FC 2 - 1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, skuad Sang Badak memperoleh dua gol menerusi pemain senior Amri Yahyah manakala gol tunggal pasukan Melaka United FC dijaringkan pemain importnya, Ifedayo Omosuyi.

Kim Swee berkata, kesungguhan ditampilkan anak buahnya itu memberi kelebihan kepada pasukan Sang Badak hingga berjaya mengekalkan kemenangan untuk kali ketiga berturut-turut.

"Pemain menunjukkan kesungguhan dalam permainan apabila ketinggalan. Namun kita harus memperkemaskan lagi permainan terutama tidak harus ketinggalan tetapi sikap positif, sikap tidak mengalah pemain harus diberi pujian.

"Sama ada yang bermain dari mula atau sesiapa yang menggantikan terutama Amri Yahyah, Irfan Fazail, Farhan Roslan dan Hanafie Tokyo, mereka memberi persembahan cukup baik," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Mengenai dakwaan pemain kurang 'fit' ketika aksi malam tadi, Kim Swee menafikan perkara itu, sebaliknya beliau berkata keadaan padang yang becak selain faktor kepenatan mempengaruhi permainan pemain.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Asri Ninggal, menyalahkan kegagalan anak buahnya untuk mencipta kemenangan walaupun sudah mendahului perlawanan pada separuh masa pertama.

Beliau berkata, Melaka United memulakan permainan dengan baik namun banyak peluang tidak diambil dengan baik bagi menambah jaringan.

Malam tadi, Amri sekali lagi menjadi wira Sang Badak apabila menjaringkan dua gol pada minit ke65 dan ke-90 untuk menewaskan Melaka 2-1 sekali gus menghadiahkan tiga mata kepada kepada Sabah FC.

Gol tunggal Melaka United pula dijaringkan pemain importnya, Ifedayo Omosuyi pada minit ke-23.

Kemenangan itu, menyaksikan Sabah FC terus kukuh di tangga kedua carta Liga Super 2022 dengan memperolehi 31 mata dalam 14 perlawanan, manakala Melaka United kekal di tangga ketujuh dengan 16 mata daripada 13 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 1:54 PM