MOORE (dua dari kiri) meraikan jaringan yang dihasilkannya untuk membantu Bournemouth membenam Villa 2-0. FOTO Reuters
MOORE (dua dari kiri) meraikan jaringan yang dihasilkannya untuk membantu Bournemouth membenam Villa 2-0. FOTO Reuters
Reuters

Bournemouth: Bournemouth kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mencatatkan kemenangan ke atas Aston Villa 2-0 di laman sendiri hasil jaringan jaringan awal Jefferson Lerma dan tandukan Kieffer Moore pada separuh masa kedua.

Pasukan kendalian Scott Parker, kembali ke liga utama selepas dua tahun, mengatasi anak buah, Steven Gerrard yang bagaikan hilang taring.

"Kami sedar cabaran yang kami hadapi hari ini (semalam). Ia adalah penting untuk kami mendapat keputusan seperti ini.

"Mesej saya kepada pemain adalah untuk menyahut cabaran itu. Terdapat banyak lagi cabaran yang akan datang tetapi dengan sikap seperti ini, kami mempunyai peluang." kata Parker kepada BBC

Pemain tengah Colombia, Lerma meletakkan Bournemouth di hadapan pada minit kedua apabila dia menyambar bola hasil rembatan Lloyd Kelly.

Villa mendominasi penguasaan bola tetapi mereka gagal mencipta peluang yang mencukupi dengan Danny Ings bergelut untuk memberi impak menentang bekas kelabnya, manakala perancang Philippe Coutinho juga kelihatan mengecewakan.

Pemain baru Villa, Boubacar Kamara, yang berpindah secara percuma dari Olympique Marseille, hampir menjaringkan gol penyamaan apabila dia melepaskan percubaan jarak jauh pada minit ke-65 namun tersasar.

Pasukan pelawat kelihatan tumpul dan leka di bahagian pertahanan apabila Moore yang tidak dikawal mengesahkan kemenangan Bournemouth dengan tandukan pada minit ke-80, apabila dia menyambar hantaran lintang Kelly dari sebelah kanan.

"Semua orang mahu mendapatkan tiga mata pada hari pembukaan musim.

"Kami mahu memaksa diri secara fizikal dan kami melakukannya. Kami mahu pasukan yang datang ke sini takut kepada kami. Kami melaksanakan pelan permainan dengan sempurna," kata Moore.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 10:25 AM