PERTAHANAN Fulham,   Antonee Robinson (tengah) dan pemain  Leicester City, Wesley Fofana (kanan)  berentap di Stadium King Power, awal pagi tadi. FOTO AFP
PERTAHANAN Fulham, Antonee Robinson (tengah) dan pemain Leicester City, Wesley Fofana (kanan) berentap di Stadium King Power, awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

London: Fulham melonjak keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris selepas mengatasi badi penalti untuk melakar kemenangan mengejutkan 2-1 di Leicester manakala West Ham meraih kemenangan dramatik apabila menewaskan Aston Villa 2-1 untuk menduduki tangga kelima.

Skuad Scott Parker hanya menang kali kedua dalam saingan liga musim ini hasil jaringan Ademola Lookman pada minit ke-30 dan penalti Ivan Cavaleiro lapan minit kemudian.

Fulham gagal tiga daripada empat penalti diperolehi musim ini tetapi Cavaleiro tenang menyempurnakan untuk jaringan kedua.

Harvey Barnes menjaringkan gol Leicester pada minit ke-86 tetapi Fulham kental bertahan untuk berkelebihan satu mata mengatasi tiga pasukan terbawah.

"Cav terlepas minggu lalu dan saya tidak melihat Twitter atau Instagram tetapi saya dapat bayangkan apa yang diperkatakan, sindiran dan Cav mungkin melihatnya,'' kata Parker merujuk kegagalan penalti Cavaleiro ketika menentang Everton.

"Saya kata kepadanya: 'Bersediakah anda mengambilnya jika kita dapat penalti?' Dia pandang saya dengan yakin dan berkata: 'Ya saya sedia'.

"Keberanian ke depan aspek yang kami perlukan. Tidak dinafikan ia amat melegakan. Saya bercakap dengan mereka jangan biarkan kekalahan hantui kita."

PENYERANG  West Ham,  Jarrod Bowen (kanan) meledak gol kedua kelabnya. FOTO AFP
PENYERANG West Ham, Jarrod Bowen (kanan) meledak gol kedua kelabnya. FOTO AFP

Ia kemenangan emosi buat Cottagers apabila Lookman meraikan jaringan dengan mempamerkan salah satu jersi milik bekas pemain tengah Fulham dari Senegal, Papa Bouba Diop yang mati pada usia 43 tahun, Ahad lalu.

"Ia keputusan kami bersama dan pemain gembira melakukannya. Kepada sesiapa yang kehilangan nyawa pada usia muda memang tragis," kata Parker.

Kemenangan kedua Fulham di tempat lawan sepanjang 26 aksi Liga Perdana adalah yang pertama sejak mereka menang di Bournemouth pada April 2019.

Leicester boleh melonjak ke tangga kedua jika menang tetapi sebaliknya kekal di tangga keempat, tiga mata di belakang pendahulu Tottenham -- selepas dua kekalahan berturut-turut.

Di Stadium London, West Ham meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas penyerang Villa gagal memanfaatkan penalti saat akhir dan menyaksikan jaringan penyamaan pada minit kecederaan dinafikan VAR.

West Ham bermula garang apabila meledak gol pendahuluan pada minit kedua menerusi tandukan Angelo Ogbonna yang menewaskan penjaga gol, Emiliano Martinez.

Jaringan pertama Ogbonna sejak Disember 2019 itu adalah yang paling pantas buat West Ham dalam aksi Liga Perdana dalam tempoh empat tahun.

Villa menyamakan kedudukan pada minit ke-25 apabila larian kencang Jack Grealish disudahi dengan rembatan dari jarak jarak 18 meter yang menewaskan penjaga gol Lukasz Fabianski.

West Ham kembali mendahului pada minit ke-46 apabila hantaran cantik pemain gantian, Said Benrahma ditanduk masuk Jarrod Bowen untuk gol keempatnya musim ini.

Sayap Villa, Trezeguet berjaya mendapatkan penalti pada minit ke-74 apabila Declan Rice menarik jersinya dalam kotak penalti tetapi rembatan Watkins terkena palang.

Tuah turut tidak menyebelahi Watkins pada minit akhir perlawanan apabila jaringan hasil tolakan jarak dekat dinafikan VAR.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 7:22 AM