SCOTT Parker dipecat sebagai pengurus Bournemouth selepas tiga kekalahan berturut-turut termasuk dibelasah 0-9 oleh Liverpool, Sabtu lalu. FOTO Reuters
SCOTT Parker dipecat sebagai pengurus Bournemouth selepas tiga kekalahan berturut-turut termasuk dibelasah 0-9 oleh Liverpool, Sabtu lalu. FOTO Reuters
AFP

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata, pemecatan Scott Parker selepas hanya empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai 'sukar dipercayai' dan tindakan pemilik Bournemouth, Maxim Demin menunjukkan 'kepentingan memiliki pemilik yang tepat.'

Parker yang membantu Bournemouth kembali semula ke EPL, musim lalu dipecat, semalam, selepas pasukan itu dibelasah 0-9 oleh Liverpool, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, ia mungkin lebih kepada temu bual selepas perlawanan apabila menyatakan the Cherries 'serba kekurangan' untuk menghadapi cabaran di EPL.

Keaiban di tangan Liverpool itu menyusul selepas dua lagi kekalahan kepada kelab gergasi EPL iaitu 0-4 di tangan juara bertahan, Manchester City dan 0-3 kepada pendahulu, Arsenal.

Tiga kekalahan itu berlaku selepas mereka menewaskan Aston Villa 2-0 pada perlawanan pembukaan.

Bagaimanapun, Klopp kurang gembira dengan layanan diterima Parker.

"Sukar dipercayai," kata Klopp menjelang perlawanan Liverpool dengan Newcastle.

"Apabila saya mendengar mengenainya, saya merasakan inilah saatnya anda perlu sedar betapa pentingnya memiliki pemilik kelab yang tepat."

Klopp berkata, pemilik kelab EPL terbahagi kepada beberapa kategori.

"Pemilik kelab di beberapa negara dan sebahagian peraturan tidak membenarkan mereka melakukan apa yang dimahukan," kata pengendali dari Jerman itu.

"Kelab lain memiliki struktur seperti kami dan mungkin Arsenal. Kemudian, ada lagi kelab seperti Bournemouth.

"Tiga pasukan dipromosi: Nottingham Forest berbelanja besar, Fulham berbelanja besar, tetapi saya tidak ingat sama ada Bournemouth turut melakukannya.

"Memang sukar apabila anda bermain di EPL."

Klopp berkata, anak buah Parker berdepan jadual umpama mimpi ngeri apabila mereka kembali ke persaingan elit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 9:20 PM