ALISSON kecewa selepas pasukannya tumpas di tangan Bournemouth. FOTO Reuters
ALISSON kecewa selepas pasukannya tumpas di tangan Bournemouth. FOTO Reuters
Reuters

Bournemouth: Pemain Liverpool, Mohamed Salah gagal menyempurnakan penalti pada separuh masa kedua ketika pasukannya tumpas 0-1 di tempat lawan menentang Bournemouth.

Gol kemenangan Philip Billing membantu pasukan pantai selatan itu meninggalkan tempat tercorot Liga Perdana Inggeris dan keluar dari zon penyingkiran.

Kemenangan bagi perlawanan pertama hujung minggu ini menyaksikan The Cherries melonjak dari tangga terakhir ke tempat ke-16, manakala Liverpool kekal di kedudukan kelima liga dengan mengumpul 42 mata selepas membazirkan peluang untuk merapatkan jurang tiga mata ke atas pasukan tangga keempat Tottenham Hotspur.

Liverpool bermula baik, dengan Mohamed Salah melakukan rembatan awal ke arah gol dan pemain pertahanan Bournemouth, Jefferson Lerma mengeluarkan bola tandukan Virgil van Dijk dari garisan.

Pemain Bournemouth, Dango Outtara merembat tersasar selepas satu lawan satu dengan Alisson tetapi The Reds tidak mengendahkan amaran itu.

Mereka bolos pada minit ke-28 apabila Outtara mengatasi Van Dijk dan melorongkan bola untuk Billing, yang kemudian meletakkan bola ke dalam gawang.

Diogo Jota masuk menggantikan Harvey Elliot pada separuh masa pertama dan dia memperoleh penalti untuk Liverpool apabila tandukannya terkena lengan Adam Smith, namun sepakan Salah tersasar keluar.

Kesilapan pada minit ke-70 itu seolah-olah melemahkan semangat Liverpool sepenuhnya, dan mereka melakukan sedikit tindakan untuk mengancam gawang Bournemouth, manakala penyokong tuan rumah bersorak setiap terjahan dan mengeluarkan bola tatkala pasukan mereka bertahan untuk kemenangan yang amat diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 10:54 PM