BOURNEMOUTH meraikan kejayaan mereka kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris. -FOTO Reuters
BOURNEMOUTH meraikan kejayaan mereka kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris. -FOTO Reuters
AFP

London: Bournemouth menewaskan Nottingham Forest 1-0 sekali gus memperoleh kenaikan secara automatik ke saingan Liga Perdana selepas dua musim beraksi di Liga Kejuaraan.

Pemain gantian Kieffer Moore menjaringkan gol tunggal permainan pada minit ke-83 untuk memastikan pasukan Scott Parker menyertai Fulham beraksi dalam saingan liga utama Inggeris musim depan.

Ia adalah gol ketiga pemain antarabangsa Wales itu sepanjang kariernya bersama Bournemouth sejak berpindah dari Cardiff Januari lalu.

"Pertama sekali saya gembira untuk penyokong dan pemain saya," kata Parker.

"Mereka layak untuk tempat itu. Ia membawa makna yang besar.

"Kami gagal menguasai babak pertama dan kami tidak mahu ia menjadi perlawanan bola keranjang.

"Kami bercakap tentang kawalan dan ketenangan serta proses. Kami tidak mengikut perancangan permainan tetapi di babak kedua kami menunjukkan penguasaan," kata Parker yang turun ke divisyen dua musim lalu ketika membimbing Fulham.

Forest, yang memerlukan kemenangan untuk mengatasi The Cherries dalam kedudukan liga, kini perlu menamatkan penantian 23 tahun ke Liga Perdana Inggeris menerusi play-off.

Forest di tangga ketiga dan Huddersfield mengesahkan tempat di play-off ketika saingan berbaki satu perlawanan, dan beberapa kelab lagi bersaing untuk merebut dua lagi tempat dalam pusingan penentuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 9:53 AM