STUART Ramalingam. FOTO Hairul Anuar Rahim
STUART Ramalingam. FOTO Hairul Anuar Rahim
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kalendar Liga Malaysia (Liga M) bakal berubah dalam tempoh dua musim akan datang dengan jangkaan saingan musim 2024-2025 bakal menyaksikan kempen Liga M mengikut kalendar liga Eropah dari Ogos hingga Mei.

Keputusan perubahan itu dilihat penting dan wajar selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan mulai musim depan kalendar saingan kelab-kelab Asia iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC berubah mengikut kalendar pertandingan di Eropah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, walaupun AFC mengubahnya seawal musim depan namun Liga M memerlukan sedikit masa sebelum ia dilaksanakan.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kami sedia dengan segala kemungkinan perubahan di peringkat AFC dan MFL akan mengkaji kemungkinan perubahan kalendar liga tempatan.

"Ia perlu dilakukan dengan berhati-hati untuk memastikan komitmen dan kewajipan liga dan kelab juga diambil kira.

"Ia tidak akan berlaku musim depan tetapi mungkin dalam dua ke tiga tahun akan datang kerana pertukaran kalendar untuk liga kebangsaan bukanlah satu perkara yang mudah," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, MFL mengumumkan perubahan dalam sistem piramid Liga M mulai musim depan apabila saingan utama Liga Super akan ditambah kepada 18 pasukan berbanding 12 ketika ini.

Malah, saingan divisyen dua iaitu Liga Perdana terpaksa dimansuhkan dengan MFL memperkenalkan Liga Simpanan babitkan pemain bawah 23 tahun.

Perkara itu dicapai hasil persetujuan Rakan Kongsi Liga menerusi Mesyuarat Luar Biasa (EGM) yang berlangsung di sini, 20 Julai lalu.

Pelaksanaan penstrukturan semula Liga M itu menyaksikan setiap pasukan akan beraksi dalam 34 perlawanan Liga Super bagi musim 2023 berbanding hanya 22 perlawanan sahaja ketika ini, tidak termasuk perlawanan Piala FA dan Piala Malaysia.

Jumlah 34 perlawanan ini ternyata memenuhi saranan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) hasil kaji selidik badan induk bola sepak itu yang dikongsikan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Ujar Stuart lagi, perubahan saingan kalendar kelab-kelab Asia ini disambut baik MFL.

"Kesannya amat besar. Ia adalah satu langkah yang baik untuk AFC melakukan perubahan namun bagi Malaysia kita mesti melihat perubahan ini secara mendalam dan mengakses apa yang terbaik untuk Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 10:07 PM