STUART Ramalingam. FOTO NSTP
STUART Ramalingam. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak menolak kemungkinan akan berlaku perubahan dalam kalendar Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, perubahan itu berlaku dipengaruhi undian di peringkat kejohanan antarabangsa dan membabitkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Katanya, walaupun terdapat perubahan jadual namun keputusan itu kelak tidak mengganggu perjalanan saingan Liga M musim ini.

Katanya, bagi pihak MFL, pihaknya sudah melakukan usaha terbaik dari aspek penjadualan saingan Liga M musim ini termasuk mengambil kira kajian berdasarkan perjalanan liga pada musim lalu.

"Banyak cadangan dan rundingan berlaku, bukan sahaja di peringkat MFL tetapi juga dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) membabitkan pasukan kebangsaan termasuk skuad bawah umur dan juga perubahan kalendar AFC yang menjejaskan hujung tahun dari September ke Disember.

"Ada juga perubahan yang mungkin dan akan berlaku yang mana undian untuk (kejohanan) AFC pada tahun ini belum lagi diadakan. Jadi pasukan Sabah, Terengganu dan JDT (Johor Darul Ta'zim) yang bertanding dalam Piala AFC dan ACL (Liga Juara-Juara Asia) belum ada jadual.

"Kalau ada perlawanan di Jepun, sebagai contoh JDT akan bermain di Jepun, mungkin (perubahan) tempoh bagi sebelum perjalanan itu perlu dibuat tetapi untuk sehari dua sahaja, bukan perubahan besar.

"Jadi dengan adanya beberapa keputusan yang perlu dibuat bukan dari pihak MFL, kita terpaksa anjak sedikit jadual berdasarkan keputusan pihak lain. Bagi MFL kita sudah lakukan yang terbaik, dan kalendar sudah keluar sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keputusan FAM tidak menghantar skuad bawah 23 (B-23) tahun negara ke Sukan Asia tahun ini, Stuart berkata ia mungkin hanya memberi kesan kepada kalendar saingan Piala MFL yang disertai pemain bawah umur.

"Skuad Sukan Asia adalah skuad bawah umur dan itu hanya ada kesan kepada kalendar Piala MFL, pada masa ini tiada perubahan. Kita akan kekalkan dengan kalendar separti biasa dan akan laksanakan jadual seperti yang sudah dimaklumkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 12:36 PM