GHANI mengucapkan sekalung tahniah kepada kelab JDT, KDA FC dan KL City. - FOTO Bernama
GHANI mengucapkan sekalung tahniah kepada kelab JDT, KDA FC dan KL City. - FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kejayaan tiga kelab Liga Malaysia (Liga M) melangkah jauh dalam dua saingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) iaitu Liga Juara-Juara Asia serta Piala AFC membuktikan bahawa liga domestik tempatan cukup berkualiti di pentas antarabangsa.

Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kejayaan itu bukan saja meletakkan Liga M antara yang terbaik di rantau ini, malah ia mampu menyumbang mata Malaysia dalam ranking kelab AFC.

"Saya bersama barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) atas kejayaan mereka dalam pertandingan anjuran AFC baru-baru ini," katanya.

Terdahulu, JDT melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wakil pertama negara layak ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas muncul juara Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia mengatasi kelab-kelab gergasi rantau Asia.

Kejayaan itu diteruskan oleh dua lagi wakil negara iaitu Kedah dan KL City yang mara ke peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC.

Kedah membuktikan kehebatan dengan muncul juara Kumpulan G di Bali, Indonesia untuk meneruskan cabaran manakala KL City pula memanfaatkan sepenuhnya aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur untuk merebut slot separuh akhir Zon Asean selaku naib juara Kumpulan H.

"Pastinya pencapaian JDT, KDA dan KL City ini sesuatu yang membanggakan di pentas antarabangsa sekali gus membuktikan kualiti yang dimiliki mereka untuk bersaing dengan kelab-kelab ternama di luar negara.

"Ini bukan sahaja dapat mengharumkan nama negara malah menaikkan profil Liga Malaysia di mana kemenangan yang diraih dalam saingan ACL dan Piala AFC akan menyumbang mata Malaysia bagi ranking pertandingan kelab AFC.

"Bagi MFL, kami amat menghargai komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan oleh JDT, KDA dan KL City dalam menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa dan kami doakan agar kejayaan akan terus mengiringi mereka di peringkat seterusnya," katanya.

Tambahnya lagi, dengan kejayaan itu diharapkan ia mendorong kelab-kelab Liga M yang lain mengikut jejak tiga pasukan itu selepas ini.

"Semoga kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada kelab-kelab Liga Malaysia yang lain untuk memburu kejayaan sekali gus menyemarakkan lagi saingan Liga Malaysia musim ini dan juga musim-musim seterusnya."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 4:36 PM