SEAN tak sangka mampu meledak rembatan pemusnah dari jarak 30 meter.
SEAN tak sangka mampu meledak rembatan pemusnah dari jarak 30 meter.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur"Saya tidak percaya boleh masuk." Itu luahan penyerang Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj yang mengakui tidak menyangka percubaan dari luar kotak penaltinya ketika menentang Selangor FC menerjah jaring sekaligus menghadiahkan kemenangan 3-2.

Jelas Sean, bukan sahaja gol itu dihasilkan pada minit-minit terakhir malah lebih istimewa jaringan itu antara tercantik sepanjang dalam kariernya selaku pemain bola sepak profesional.

Malah, Sean Selvaraj yang juga bekas pemain Selangor sebelum ini seakan-akan masih tidak percaya bagaimana dia mampu melepaskan satu rembatan yang sangat menarik kira-kira 30 meter dari luar kotak penalti.

"Saya pun tidak tahu apa sebenarnya berlaku dan sampai sekarang saya masih tidak percaya boleh lakukan jaringan sebegitu.

"Malah saya rasakan ini jaringan tercantik pernah lakukan sepanjang bermain bola sepak dan tidak mungkin saya akan lupa walaupun dalam latihan,saya pernah lakukan beberapa kali teknik jaringan sebegitu.

"Selangor sememangnya masih ada di hati saya walaupun terpaksa meninggalkan kelab ini namun menjaringkan gol di sini dengan suasana yang sangat meriah sebegini, memang begitu mengujakan," katanya.

Terdahulu jaringan Sean itu tular di media sosial termasuk turut mendapat liputan media antarabangsa yang kagum dengan golnya itu.

Malah ramai yang mahu melihat gol terbabit dicalonkan dalam Anugerah Puskas Fifa yang dilihat berpotensi untuk muncul antara gol terbaik sepanjang tahun ini.

Untuk rekod, pemain Malaysia pernah memenangi anugerah itu menerusi Faiz Subri pada 2016 lalu.

Ujar Sean lagi, dia mahu menjadikan gol itu sebagai pembakar semangat untuk terus mencipta nama dalam saingan Liga Malaysia.

"Terima kasih juga jurulatih yang bagi peluang dan memasukkan saya sebagai penyerang gantian kerana ini memang posisi yang saya sangat selesa.

"Harap dengan gol ini, nama saya akan kembali diingati apabila sedikit tenggelam pada awal musim selepas jaringan berdepan PJ City, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 2:14 PM