SEAN Selvaraj jaringkan gol kemenangan Negeri Sembilan FC menerusi rembatan dari luar kotak penalti. FOTO FB MFL
SEAN Selvaraj jaringkan gol kemenangan Negeri Sembilan FC menerusi rembatan dari luar kotak penalti. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Teknikal badan induk itu untuk menilai jaringan cantik dilakukan penyerang Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj sebelum dihantar ke Fifa bagi dicalonkan dalam Anugerah Puskas, tahun ini.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, gol itu akan dinilai pakar teknikal terlebih dahulu selepas rembatan dari jarak kira-kira 30 meter itu menerjah masuk menewaskan penjaga gol Selangor FC dalam aksi Liga Super, Ahad lalu.

Katanya, beberapa aspek akan dinilai termasuk keistimewaan gol itu bagi mencabar ribuan gol dari seluruh dunia dalam anugerah itu.

"Jawatankuasa Teknikal akan menilai dan dari situ baru kita tahu keputusan sama ada untuk menghantar ke Fifa atau tidak.

"Kita tak boleh nak terus hantar kerana tak tahu mungkin akan ada lagi gol lebih cantik daripada itu.

"Dulu gol Faiz Subri menang sebab memang unik, sepakan dari kiri terus masuk ke sebelah kanan. Gol Sean pula menarik kerana rembatan dari luar kotak penalti terus masuk.

"Jadi kita serahkan pihak teknikal untuk melihat dan jika nyata boleh dipertaruhkan, apa salahnya untuk kita menghantarnya nanti," katanya kepada Arena Metro.

Sean atau turut dikenali dengan jolokan 'Seanaldo' melepaskan satu rembatan jarak jauh yang tepat menuju ke gawang Selangor pada minit ke-88 untuk menghadiahkan kemenangan 3-2 buat Negeri Sembilan.

Gol itu bukan saja menarik perhatian peminat tempatan, malah turut mencuri hati peminat bola sepak antarabangsa yang kagum dengan jaringan itu.

Video jaringan Sean turut dimuatnaik Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di laman Twitter dan video itu diciap semula BR Football dan ia mendapat sambutan serta respon pantas ramai peminat bola sepak di luar negara.

Gol itu dikongsikan media antarabangsa yang kemudiannya tular ke seluruh dunia.

Malah ramai yang mahu melihat gol itu dicalonkan dalam Anugerah Puskas yang dilihat berpotensi untuk muncul antara gol terbaik sepanjang tahun ini.

Untuk rekod, pemain Malaysia pernah memenangi anugerah itu menerusi Faiz Subri pada 2016 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 6:42 PM