MUHAMMAD Akhyar Abdul Rashid (atas) diterjah pemain Indonesia.
MUHAMMAD Akhyar Abdul Rashid (atas) diterjah pemain Indonesia.

Ketajaman tiga penyerang serangkai skuad bawah 22 tahun negara (B-22) merentap ego musuh ketat Indonesia B-22 dengan memastikan kemenangan 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan H kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Stadium Nasional Supachalasai, semalam.

Gandingan Syafiq Ahmad, Muhammad Jafri Firdaus Chew dan N Thanabalan nyata gagal dikekang skuad Garuda yang cukup yakin untuk membenam skuad tempang Malaysia kerana kehilangan enam pemain tonggak serta hanya berlatih dalam tempoh singkat sebelum ke Bangkok.

Penyerang Kedah Syafiq tidak menunggu lama untuk meletakkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee di depan pada minit ke-3 sebelum Jafri dari Pulau Pinang menambah gol kedua pada minit ke-19.

Penyerang FELCRA FC N Thanabalan yang meledak gol ketika menang 2-0 ke atas Myanmar B-22 dalam aksi persahabatan 13 Julai lalu terus konsisten dengan menyumbat gol pada minit ke-30.

Bagi Syafiq, dia percaya jaringan awal itu membunuh semangat pemain Indonesia yang dilatih bekas jurulatih remaja Sepanyol Luis Milla Aspas.

“Alhamdulillah, kita dapat tewaskan Indonesia kerana ia bukan perlawanan yang mudah. Pada babak pertama kita dapat menjaringkan gol awal, saya percaya jaringan itu dapat membunuh semangat mereka yang masih belum mendapat rentak,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan semalam.

Bagaimanapun, Malaysia banyak bertahan pada separuh masa kedua biarpun Indonesia kehilangan pemain apabila Asnawi Mangkualam dilayangkan kad merah pada minit ke-68 kerana melakukan terjahan keras ke atas Sean Eugene Selvaraj.

Syafiq yang menerima sedikit kecederaan dan digantikan dengan Sean enam minit sebelum insiden itu yakin tiga mata diraih pada aksi pertama menyuntik keyakinan sebelum bertemu dengan pasukan pilihan Thailand esok dan Mongolia (Ahad).

“Kita kena lebih bersedia dan memperbaiki kelemahan yang ada kerana Thailand lawan yang lebih sukar. Kita akan cari kemenangan untuk memastikan tempat di pusingan akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 10:23 AM