Danial Chuer
Danial Chuer
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Peserta Big Stage 2022, Danial Chuer bersikap profesional dalam menerima ejekan nakal netizen yang mendakwa dia tidak maskulin dan lebih kelihatan feminin dalam persembahannya di Big Stage 2022.

Danial tidak menafikan dia awalnya terkesan dengan ejekan itu, namun dia menjadikan perkara itu sebagai motivasi untuknya membuktikan dia takkan mudah tunduk terhadap kritikan sebegitu.

"Tipu kalau sebagai individu dan manusia biasa, kita tidak terganggu. Saya sebenarnya agak terganggu beberapa hari selepas orang gelar saya Daniel Hadid, Bella Hadid.

"Namun selepas itu, saya anggap ia sudah jadi bahan lawak dan mengambilnya dari sudut positif. Saya jadikan ia cabaran dan buktikan kepada mereka untuk tunggu dan lihat apa mampu saya lakukan," katanya.

Turut disebut-sebut antara calon juara program terbabit musim ini, Danial percaya corak pemikiran sebegitu sangat penting bagi elakkan fikiran terganggu lebih teruk.

"Kalau saya meragui kebolehan diri, lagilah ia akan mengganggu. Sewaktu dapat lagu Hatinya Tak Tahan, perkara pertama netizen cakap adalah pasti persembahan saya jadi feminin. Malah, dalam mesej peribadi (DM) Instagram, ada yang cakap saya akan jadi Bella Hadid 2.0. Tapi, saya tidaklah bengang dan menerimanya dengan profesional," katanya.

Terdahulu, Danial mencuri perhatian ramai selepas persembahannya menerusi lagu Gila pada minggu kelima dilihat terlalu feminin.

Malah, Datuk Syafinaz Selamat selaku juri pedas turut menyamakan cara berjalannya seperti Bella Hadid yang juga model popular dunia dari Amerika Syarikat.

Juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza pula memintanya menjadi lebih maskulin pada persembahan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 3:22 PM