LAPORTE tonggak pertahanan City.
LAPORTE tonggak pertahanan City.
Reuters

London: Pertahanan Manchester City, Aymeric Laporte selamat menjalani pembedahan lutut dan dijangka berehat sehingga September, menurut pengurus Pep Guardiola menjelang aksi Perisai Komuniti menentang juara Piala FA, Liverpool pada pagi Ahad ini.

Pemain pertahanan tengah Perancis berusia 28 tahun itu terlepas aksi jelajah pra musim di Amerika Syarikat bulan ini yang menyaksikan City menewaskan Club America dan Bayern Munich.

"Laporte mengalami kecederaan," kata Guardiola kepada media sebelum perlawanan di Stadium King Power Ahad ini.

"Dia menjalani pembedahan. Musim lalu dia beraksi beberapa perlawanan walaupun berdepan kecederaan, dia bersungguh-sungguh tapi tidak dapat bertahan lebih lama.

"Setakat ini dia dalam keadaan baik. Anda perlu berhati-hati kerana ia mengenai lututnya. Jika semua lancar, dia akan bersama kami pada September."

Guardiola berkata, City masih mencari pertahanan kiri selepas perpindahan Oleksandr Zinchenko ke Arsenal dengan media British mengaitkan juara bertahan itu dengan pemain Brighton & Hove Albion, Marc Cucurella.

"Dia pemain Brighton. Jika dapat kami akan tandatanganinya. Jika tidak, kami kekal. Joao Cancelo boleh beraksi di situ, begitu juga Nathan Ake. Saya tak pernah merungut mengenai skuad. Apa yang boleh kelab buat untuk kepentingan kelab, bukan saya."

City menandatangani penyerang Erling Haaland, pemain tengah Kalvin Phillips, penjaga gol Stefan Ortega dan menurut Guardiola ketiga-tiga mereka tiada masalah dan pantas menyesuaikan diri dengan City.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 10:10 PM