LAPORTE (kanan) cedera selepas membentes Webster di Stadium Etihad, malam tadi. — FOTO AFP
LAPORTE (kanan) cedera selepas membentes Webster di Stadium Etihad, malam tadi. — FOTO AFP
AFP

DUA gol Sergio Aguero membantu Manchester City mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris sejak Januari lalu apabila menang 4-0 ke atas Brighton malam tadi.

Bagaimanapun, kegembiraan pengurus City, Pep Guardiola terjejas dengan kebimbangan mengenai kecederaan pemain pertahanan berpengaruh Aymeric Laporte.

Potensi kehilangan khidmat Laporte, yang jelas kelihatan sedih selepas mengalami kecederaan lutut, mungkin memberi kesan besar.

City sudah kehilangan seorang pemain tonggak hampir sepanjang musim ini selepas Leroy Sane mengalami kerosakan ligamen lutut.

LAPORTE terpaksa diusung keluar selepas mengalami kecederaan lutut. — FOTO AFP
LAPORTE terpaksa diusung keluar selepas mengalami kecederaan lutut. — FOTO AFP

“Saya fikir dia berada di hospital. Ia kelihatan tidak bagus tapi saya tidak begitu tahu apa sebenarnya yang berlaku. Esok atau malam ini kami akan tahu apa yang dialaminya,” kata Guardiola.

“Dia tidak berasa bagus. Doktor akan menelefon saya dan memberitahu keadaannya tapi saya fikir, buat sementara waktu dia terpaksa diketepikan. Harapnya ia tidak selama Leroy (Sane).”

Laporte mengalami kecederaan lutut itu selepas 33 minit apabila pemain pertahanan itu, yang dianggap Guardiola sebagai pertahanan tengah sebelah kiri terbaik di Eropah minggu ini, melakukan kekasaran terhadap Adam Webster.

Laporte, yang dipanggil oleh Didier Deschamps dalam skuad minggu ini dan berharap meraih penampilan sulung bersama Perancis, terseliuh lututnya ketika mengekang larian Webster dan memerlukan rawatan sebelum diusung keluar serta digantikan oleh Fernandinho.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 10:57 AM