CUCURELLA turut diburu City.
CUCURELLA turut diburu City.
Agensi

London: Chelsea dilaporkan mencapai persetujuan dengan Brighton untuk menandatangani pemain serba boleh Marc Cucurella dengan harga £52.5 juta (RM283.99 juta).

Blues bertindak pantas dengan berusaha membawa bintang Seagulls itu ke Stamford Bridge selepas Manchester City menganggap pemain Sepanyol terbabit terlalu mahal.

Menurut beberapa laporan, bekas pemain Getafe berusia 24 tahun itu yang boleh beraksi di posisi pertahanan dan sayap akan menjalani ujian perubatan sebelum dijangka mengikat kontrak enam tahun.

Perjanjian Chelsea dengan Brighton juga menyaksikan pertahanan berbakat, Levi Colwill bertukar ke Seagulls.

Media dalam twitter mereka berkata: "Marc Cucurella akan berada di London awal pagi esok bersama ejennya.

"Chelsea sudah menempah sesi ujian perubatan dan kontrak sehingga Jun 2028 akan ditandatangani.

"Yuran berjumlah £52.5 juta untuk Cucurella dan Brighton akan membeli Levi Colwill dalam perjanjian berasingan."

Bagaimanapun, Brighton kemudiannya dalam satu kenyataan menegaskan tiada sebarang perjanjian seperti dilaporkan.

Dalam twitter kelab: "Laporan tidak tepat beberapa media, tiada perjanjian dengan mana-mana kelab untuk menjual Marc Cucurella."

Cucurella mahu berpindah ke Citizens tetapi juara Liga Perdana Inggeris itu enggan membayar lebih daripada £30 juta (RM162 juta) dan pengendali, Pep Guardiola kini mencari alternatif dengan cuba membawa masuk pemain Anderlecht, Sergio Gomez ke Etihad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 8:05 AM