LUKAKU dikaitkan dengan Inter Milan, Juventus dan Tottenham selepas tiada dalam perancangan Chelsea. FOTO AFP
LUKAKU dikaitkan dengan Inter Milan, Juventus dan Tottenham selepas tiada dalam perancangan Chelsea. FOTO AFP
Agensi

London: Chelsea dijangka melepaskan sembilan lagi pemain untuk meninggalkan kelab itu sebelum jendela perpindahan ditutup.

Malah, pemiliknya, Todd Boehly dijangka akan menerima £156 juta (RM920.74 juta) jika berjaya menjual semua pemain terbabit.

The Blues bersungguh-sungguh mahu menjual Romelu Lukaku kerana dijangkakan tiada tempat buatnya di Stamford Bridge.

Penyerang Belgium berusia 30 tahun itu dikaitkan dengan kepulangan ke Inter Milan, selain Juventus dan Tottenham.

Jika dia dijual, Chelsea dijangka gagal mendapatkan semula £97.5 juta (RM575.46 juta) yang dilaburkan buatnya, memandangkan pemain itu dianggarkan hanya bernilai £35 juta (RM206.58 juta), ketika ini.

Hakim Ziyech semakin hampir melengkapkan perpindahan bernilai £8 juta (RM47.22 juta) ke Galatasaray, manakala Newcastle berminat mendapatkan pemain pertahanan, Marc Cucurella.

Bekas pemain Brighton itu dijangka akan dipinjamkan, tetapi yuran sekitar £30 juta (RM177 juta) boleh membuatkan Chelsea setuju dengan perpindahan secara tetap.

West Ham menyaksikan bidaan £40 juta (RM236 juta) bagi mendapatkan Conor Gallagher, ditolak pada bulan lalu, tetapi kehadiran Moises Caicedo dan Romeo Lavia, mungkin menyebabkan mereka akan menerima jumlah berkenaan.

Trevoh Chalobah dan Malang Sarr adalah dua bek tengah yang tidak diingini Chelsea.

Pengurus baharu, Mauricio Pochettino sudah memiliki beberapa bek tengah pilihan termasuk Thiago Silva, Levi Colwill, Benoit Badiashile dan pemain yang masih cedera, Wesley Fofana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 9:59 PM