DARREN (kiri) kembali temui sentuhan jaringan.
DARREN (kiri) kembali temui sentuhan jaringan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas berjaya mengikat Melaka United FC (MUFC) dalam aksi di tempat lawan, Petaling Jaya (PJ) City FC kini tampak lebih yakin menentang Sabah FC, pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya PJ (MBPJ), Selasa ini.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada pertembungan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Rabu lalu dengan penyerang kebangsaan, Darren Lok dan K Gurusamy, selaku penjaring gol buat PJ City.

Pengurus pasukan, K Rajendran berkata, sedikit perubahan taktikal dilakukan pengendali, P Maniam dengan menggandingkan pemain kebangsaan, Darren dan Khyril Muhymeen Zambri, ternyata memberi impak positif di bahagian serangan.

"Saya melihat perubahan dilakukan Maniam ketika menentang Melaka memberi kesan kepada jentera serangan pasukan, sehingga dapat menjaringkan dua gol sekali gus menyekat Melaka daripada peroleh kemenangan.

"Memang persembahan menentang Melaka itu antara yang terbaik diperagakan pemain. Saya yakin dan percaya prestasi itu akan dibawa ketika menentang Sabah di tempat sendiri, Selasa depan.

"Malah, keputusan yang baik itu juga akan dapat menyuntik kekuatan serta semangat pemain untuk terus mengekalkan persembahan cemerlang ketika berdepan Sabah nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau ternyata berpuas hati dengan kelibat Darren yang kembali mendapatkan sentuhan gol dan berharap penyerang kebangsaan itu dapat meneruskan rentak terbaik bagi membantu pasukan mendapatkan kemenangan.

Menurutnya, pasukannya amat dahagakan kemenangan selepas mencatatkan keputusan lima seri setakat ini.

"Sasaran kita untuk meraih kemenangan dalam beberapa perlawanan sebelum ini ternyata tidak kesampaian dan kita juga tidak mahu dilihat sebagai pasukan pakar seri.

"Pemain PJ City perlu menggunakan peluang terbaik menentang Sabah di laman sendiri bagi mendapatkan tiga mata kerana kita amat dahagakan kemenangan.

"Walaupun Sabah menunjukkan peningkatan prestasi kebelakangan ini dengan aksi pemain import mereka yang baik, tapi ia tidak boleh dijadikan halangan bagi kita untuk mendapatkan keputusan positif," katanya yang tidak menolak kemungkinan khidmat Khyril Muhymeen akan terus ditagih bagi membantu Darren mengemudi jentera serangan.

PJ City yang setakat ini merekodkan dua kemenangan, menduduki tangga kesembilan carta Liga Super dengan mengumpul 11 mata selepas melalui 11 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 6:02 PM