AHMAD Syihan berharap pasukannya dapat meraih kemenangan bagi memastikan kedudukan tempat ketiga carta ketika ini tidak tergugat. FOTO Ihsan NSFC
AHMAD Syihan berharap pasukannya dapat meraih kemenangan bagi memastikan kedudukan tempat ketiga carta ketika ini tidak tergugat. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tidak mahu hubungan baik dengan bekas pasukannya, Petaling Jaya (PJ) City FC menjadi penghalang untuk dia mempamerkan aksi cemerlang dalam misi membantu Negeri Sembilan FC (NSFC) melebarkan lagi rekod kemenangan.

Menjelang pertembungan dengan pasukan itu dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok, penjaga gol utama Negeri Sembilan itu bertekad akan mempertahankan kubu pasukannya.

Menurutnya, dia sudah bersedia untuk menghalang setiap percubaan daripada penyerang PJ City seperti pemain kebangsaan Darren Lok, R Kogileswaran, S Kumaahran, Mohd Khyril Muhymeen atau K Gurusamy.

"Walaupun akan berhadapan dengan bekas pasukan tapi saya berazam untuk memastikan gawang Negeri Sembilan tidak bolos pada pertembungan itu nanti.

"Kemenangan dicapai pasukan ke atas Penang FC baru-baru ini menambah lagi keyakinan dan menguatkan semangat saya untuk meneruskan rentak cemerlang, malah saya sedar PJ City memiliki ramai pemain tempatan berkualiti dan mereka jika diberi ruang, pastinya akan membuatkan impian meraih kemenangan, tersasar.

"Apapun saya yakin, rakan-rakan terutama di bahagian pertahanan akan memberikan kerjasama padu untuk sama-sama memastikan kubu pasukan dapat terus dipertahankan daripada serangan mereka," katanya selepas sesi latihan hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, pihaknya yakin rakan-rakan akan bersikap positif dengan tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan hanya kerana mereka berada di kelompok terbawah carta liga.

Menurut Ahmad Syihan, skuad Hobin Jang Hobin akan bersikap lebih berhati-hati untuk mengelak sebarang kemungkinan terutama kebangkitan yang mungkin dipamerkan PJ City.

"Kami perlu bersikap berhati-hati apabila turun menentang skuad PJ City kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku di gelanggang lawan itu.

"Skuad bimbingan P Maniam itu jelas ada kekuatan tersendiri terutama barisan penyerang mereka yang berpengalaman dan mampu menjaringkan gol termasuk dalam situasi sukar.

"Jika kami menganggap mudah perlawanan itu, dikhuatiri akan memakan diri, apa lagi beraksi di gelanggang lawan, yang sudah tentu kelebihan itu berpihak kepada PJ City," katanya.

Ahmad Syihan berharap pasukannya dapat meraih kemenangan bagi memastikan kedudukan tempat ketiga carta ketika ini tidak tergugat selain memberi cabaran kepada Sabah FC yang berada di tangga kedua carta.

"Semua pemain akan berikan fokus dan persembahan terbaik seperti mana dimahukan ketua jurulatih ( K Devan) dan secara peribadi, saya mahukan kemenangan dicapai membolehkan pasukan mengukuhkan kedudukan dalam kelompok teratas carta liga," kata pemain kebangsaan kelahiran Kelantan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 1:34 PM