ANTARA aksi PJ City bertemu Sabah FC sebelum ini. FOTO PJ City
ANTARA aksi PJ City bertemu Sabah FC sebelum ini. FOTO PJ City
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Petaling Jaya (PJ) City FC berhasrat untuk mengulangi aksi cemerlang mereka yang pernah diraih ke atas Terengganu FC (TFC), apabila bertemu sekali lagi pada aksi Liga Super, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, esok.

Pada perlawanan pusingan pertama liga, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 6 April lalu, skuad bimbingan P Maniam itu melakar kemenangan bergaya ke atas Terengganu, 3-0.

Kini, kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan buat kali kedua musim ini dengan misi memburu kemenangan selepas masing-masing tewas dalam perlawanan sebelum ini dengan Terengganu kecundang kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) manakala PJ City tunduk kepada Sabah FC.

Pengurus pasukan PJ City, K Rajendran berkata, pihaknya tidak mahu pasukan itu terus berputih mata untuk mendapatkan kemenangan.

Menurutnya, meskipun sedar prestasi Terengganu ketika ini sudah berubah dan berada di tahap yang lebih baik tetapi itu tidak boleh dijadikan halangan untuk mengulangi kejayaan ke atas pasukan lawan itu.

Beliau sedar pemain PJ City tidak akan mendapat laluan mudah untuk mendapatkan tiga mata, apa lagi beraksi di tempat lawan dengan Terengganu dilihat memiliki rekod cemerlang di gelanggang sendiri.

"Memang saya akui bukan mudah untuk tewaskan Terengganu kerana beraksi di gelanggang mereka sendiri, tapi pemain PJ City sudah diminta membuat persiapan rapi dan kekal dengan semangat jitu untuk mengulangi keputusan cemerlang yang pernah dicapai sebelum ini.

"Saya yakin kejayaan itu bukan mustahil untuk dicapai, andai setiap pemain dapat beraksi dengan baik dan bekerja keras menterjemahkan perancangan pasukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Rajendran, ketika ini semua pemain pasukan itu berada pada tahap yang baik dan bebas daripada sebarang kecederaan serta penggantungan, sekali gus persiapan berdepan Terengganu dilihat berjalan lancar.

Malah katanya, prestasi baik yang dipamerkan penyerang utama pasukan itu, Darren Lok, yang berjaya menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut iaitu ketika bertemu Melaka United FC dan Sabah, diyakini mampu meneruskan aksi cemerlang itu, malam esok.

"Darren dilihat sudah mula kembali menemui sentuhan gol, tapi kita sedar tidak boleh bergantung harap kepada seorang penyerang semata-mata.

"Saya mengharapkan semua pemain bekerja keras sepanjang tempoh perlawanan itu nanti dan bertindak bijak memanfaatkan setiap peluang jaringan bagi mendapatkan kemenangan," katanya.

Beliau menegaskan pasukan itu amat dahagakan tiga mata pada pertembungan dengan skuad Penyu itu nanti, selepas lima perlawanan tanpa kemenangan.

"Saya mengharapkan perancangan Maniam dan kesungguhan pemain kali ini akan membuahkan hasil yang positif, meskipun mereka turun tanpa pemain import berbanding Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 5:10 PM