Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak mempunyai hak eksklusif terhadap Stadium Merdeka tetapi sebaliknya dibenarkan menggunakan venue itu berdasarkan perlawanan demi perlawanan.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata stadium bersejarah itu bukan hanya untuk digunakan semata-mata acara bola sepak.

“Apabila PNB mengambil alih Stadium Merdeka dan Stadium Negara pada 2000, kami memutuskan bahawa kedua-dua stadium itu akan dikekalkan sebagai ikon warisan negara untuk semua rakyat Malaysia.

“Sekiranya KLFA mahu menggunakan semula stadium itu, mereka perlu berjumpa kami. Mungkin kami membenarkan mereka menggunakannya tapi dengan beberapa syarat,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama semalam.

Stadium Merdeka yang dibuka pada pada 21 Ogos 1957, kembali digunakan selepas 17 tahun, sebagai gelanggang pasukan Kuala Lumpur untuk tempoh dua tahun sementara menunggu Stadium KLFA di Cheras siap menjalani proses baik pulih.

Bagaimanapun, KLFA menghadapi masalah besar apabila keadaan padang dikatakan teruk dan tidak sesuai untuk bola sepak profesional semasa melayan Sabah pada perlawanan pertama Liga Perdana, Februari lalu.

Berikutan itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meminta KLFA mencari venue alternatif sebagai gelanggang tuan rumah dengan alasan padang di Stadium Merdeka tidak selamat untuk perlawanan Liga Malaysia.

Mengulas keadaan itu, Ahmad Sarji berkata padang itu dapat dipulihkan dalam tempoh satu atau dua bulan lagi kepada standard yang dapat diterima untuk pertandingan bola sepak dan acara sukan lain.

“Pengurusan stadium sedang melaksanakan langkah-langkah bersesuaian untuk menambah baik kualiti kawasan padang terjejas termasuk melakukan kerja-kerja menyiram air, membuang rumpai liar dan memotong rumput,” katanya. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 7:33 AM