KHALID  ketika  sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.  FOTO Amirudin Sahib
KHALID ketika sidang media di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Amirudin Sahib
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pasukan berstatus juara bertahan Piala Malaysia tetapi terpaksa merempat berlatih di tempat lain.

Itulah situasi berlaku kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) yang tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya penggunaan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur kerana tidak mempunyai kuasa penuh untuk menggunakan venue berkenaan yang diselenggara pihak swasta iaitu Arcadin Services Sdn Bhd.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berkata, itulah antara kesan besar apabila stadium berkenaan tidak diambil alih oleh KLFA atau pun KL City.

"Keadaan padang tak begitu elok sebab digunakan begitu kerap oleh pasukan bola sepak lain kerana pihak syarikat swasta ini nak dapatkan pendapatan, jadi dia sewakan sampai enam tujuh pasukan bermain (di stadium itu).

"Kita (KL City) sendiri nak adakan latihan (agak) terhad, kita terpaksa adakan latihan di Padang Pudu Ulu. Pihak swasta dapat pajakan (stadium) ini untuk tujuan komersial semata-mata.

"Mereka akan sewakan sebanyak mana yang mungkin. Lepas sahaja kita main dengan Tampines Rovers (di Piala AFC), esoknya mereka terus sewakan (padang) kepada pihak lain," katanya pada sidang media, hari ini.

Jelas Khalid, beliau sering menerima aduan daripada ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak yang mengeluh kerana tidak dapat menggunakan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur untuk tujuan latihan.

"KL City terpaksa berlatih di Pudu Ulu di mana padangnya keras dan menyebabkan kecederaan kepada pemain. Baru-baru ini Paulo (Josue) cedera. Dia kata alami kecederaan ringan tetapi bila turun beraksi terus dapat kecederaan serius.

"Bojan sudah banyak kali mengeluh. Saya tak boleh buat apa-apa sebab terlalu banyak kekangan tetapi pasukan masih dapat berikan keputusan yang bagus," katanya.

Khalid menerusi laporan Arena Metro sebelum ini mendesak agar stadium berkenaan diserahkan semula kepada pihak berkepentingan seperti KLFA atau KL City.

Ini kerana katanya pihak swasta yang diamanahkan untuk menyelenggara venue berkenaan didapati gagal menunaikan tanggungjawab sebaiknya hingga menimbulkan beberapa masalah terutama ketika saingan Piala AFC baru-baru ini.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif Arcadin Services Sdn Bhd, Afizal Abu Othman dalam reaksinya berkata, jika stadium berkenaan tidak diuruskan dengan baik serta mempunyai masalah, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah pasti tidak membenarkan perlawanan Piala AFC di venue berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 2:20 PM