DARREN Lok (tengah) menjadi sandaran utama PJ City FC pada pertembungan dengan Sri Pahang FC malam esok. FOTO ihsan PJ CITY FC.
DARREN Lok (tengah) menjadi sandaran utama PJ City FC pada pertembungan dengan Sri Pahang FC malam esok. FOTO ihsan PJ CITY FC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya berharap pertembungan dengan Sri Pahang ini menyaksikan kami menamatkan aksi hambar dan keputusan kurang baik yang dicapai sebelum ini," kata pengurus pasukan Petaling Jaya (PJ) City FC, K Rajendran.

Selepas dua kemenangan awal musim, skuad bimbingan P Maniam kemudian mengharungi 11 perlawanan Liga Super tanpa kemenangan, kecuali enam keputusan seri untuk mengumpul 12 mata.

Mereka bakal menanti kunjungan Sri Pahang FC pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Rajendran mengakui pencapaian diraih pasukan itu setakat ini ternyata memberi tekanan kepada pemain ketika sasaran diletakkan untuk berada dalam kelompok lima terbaik carta musim ini.

Menurutnya, pihaknya sudah menanti sekian lama untuk menyaksikan pasukan itu kembali bangkit mencipta kemenangan.

"Kami hanya menang dua kali pada awal musim dan selepas itu, sudah lama tidak menang.

"Pasukan perlu bangkit dengan persembahan lebih baik bagi mencipta kemenangan pada pertembungan dengan Sri Pahang ini, untuk keluar daripada kelompok terbawah carta liga.

"Berada di kedudukan bawah liga sememangnya memberi tekanan, jadi saya amat berharap pemain dapat memperagakan aksi mantap dan mengikuti setiap perancangan dirangka jurulatih dengan memastikan tiga mata dapat diraih di laman sendiri, malam esok," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rajendran berkata, walaupun pihaknya dimaklumkan tiada pasukan yang akan tersingkir bagi musim depan berdasarkan format baharu dilaksanakan pengendali liga, pencapaian ini akan memberi kesan kepada kedudukan pengundian bagi saingan Piala Malaysia, musim ini.

Justeru, beliau mengharapkan pemain utama seperti Darren Lok, Khairyl Muhaimeen, K Gurusamy dan Mahali Jasuli dapat memainkan peranan lebih efektif untuk memastikan kemenangan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 7:47 PM