MAHALI (tengah) antara pemain berpengalaman dan menjadi sandaran dalam skuad PJ City FC. FOTO Ihsan PJ City FC
MAHALI (tengah) antara pemain berpengalaman dan menjadi sandaran dalam skuad PJ City FC. FOTO Ihsan PJ City FC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Dua kekalahan berturut-turut yang dialami skuad Petaling Jaya (PJ) City FC mendorong pasukan itu bertindak memperkemaskan jentera serangan menjelang pertembungan dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC, dalam aksi Liga Super, 10 Mei ini.

Pengurus pasukan, K Rajendran berkata, perlawanan yang akan berlangsung di laman sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu diharap dapat mengembalikan semula keyakinan pemain dengan meraih keputusan yang positif.

"Kami sedar PJ City akan berhadapan dengan pasukan bereputasi tinggi iaitu Kedah Darul Aman dalam perlawanan berikutnya yang mana mereka adalah pesaing terkuat dalam liga musim ini.

"Hakikatnya, pasukan tidak rela untuk menerima kekalahan lagi selepas sebelum ini tunduk kepada Sarawak United dan Negeri Sembilan FC (NSFC) serta Sabah FC.

"Justeru itu, kami perlu membuat persiapan lebih rapi bagi menjamin segala strategi yang disusun dan persembahan yang akan diperagakan nanti mampu membuahkan hasil yang positif," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rajendran berkata, pihaknya sedar bahawa skuad bimbingan P Maniam perlu bangkit melakar kemenangan bagi membolehkan dapat terus bersaing dan mempertahankan kedudukan yang baik dalam carta liga.

Beliau bagaimanapun yakin dan percaya anak buah pengendali berpengalaman itu akan bekerja keras untuk mempertahankan reputasi pasukan dengan berusaha mendapatkan kemenangan.

"Segala kesilapan dan kelemahan yang menyumbang kepada kekalahan sebelum ini sudah dapat dikesan dan kini usaha memperkemaskan lagi jentera pasukan menjadi fokus utama pasukan dalam memastikan persembahan terbaik dapat diterjemahkan ke atas Kedah.

"Apa pun kelebihan beraksi di laman sendiri ini nanti perlu dimanfaatkan oleh pemain untuk memastikan kemenangan dapat dicapai atau sekurang-kurangnya meraih keputusan seri," katanya.

Rajendran berkata, pasukan itu masih menaruh harapan tinggi kepada penyerang kebangsaan, Darren Lok, selain Mahali Jasuli dan S Kumaahran, untuk bertindak proaktif di barisan depan dan menjaringkan gol.

"Dareen masih menjadi taruhan mengetuai jentera serangan dan kita berharap dia dapat meneruskan rentak terbaik serta mengulangi persembahan cemerlang dengan menjaringkan gol dalam perlawanan dengan Kedah nanti," katanya.

PJ City yang mempertaruhkan pemain tempatan 100 peratus kini menduduki tangga ketujuh carta Liga Super dengan mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan tiga tewas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 5:58 PM