NKETIAH (dua dari kanan) berjaya menjaringkan gol kedua Arsenal. FOTO AFP
NKETIAH (dua dari kanan) berjaya menjaringkan gol kedua Arsenal. FOTO AFP
Reuters

ARSENAL mara ke suku akhir Piala FA selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Portsmouth dengan dua jaringan di setiap separuh masa disumbangkan pertahanan, Sokratis Papastathopoulos dan penyerang, Eddie Nketiah.

Pompey yang juga pasukan divisyen tiga tidak pernah menumpaskan Arsenal sejak kemenangan liga pada 1958 namun mereka berjaya memberi ancaman sebelum Sokratis memecahkan kebuntuan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Hantaran lintang Reiss Nelson berjaya disambut baik Sokratis yang melakukan sepakan voli untuk meletakkan Arsenal di depan sebelum masa rehat.

Gol berkenaan seakaan memberi keyakinan buat Arsenal dan Nketiah menjadikan kedudukan 2-0 enam minit selepas aksi bersambung, apabila menyambut baik hantaran lintang Nelson.

“Malam ini saya sangat gembira dengan apa yang dipersembahkan rakan sepasukan, semua pemain termasuk tonggak muda. Mereka menunjukkan peningkatan setiap minggu dan mempunyai mentaliti yang baik,” kata David Luiz yang memakai lilitan ketua pasukan.

Nketiah mendedahkan pengurus pasukan, Mikel Arteta menggesa semua pemain agar meningkatkan tempo permainan sebaik babak kedua bersambung untuk meletakkan mereka pada kedudukan selesa.

“Pada separuh masa kedua kami bermain dengan lebih pantas dan ia kelihatan ketara apabila jurang permainan sudah semakin jauh, seterusnya kami boleh memberikan aksi paling cemerlang.

“Kami berjaya memberikan permainan dengan tahap paling tinggi pada separuh masa kedua dan ternyata sekali gol awal (separuh masa kedua) sangat membantu,” kata Nketiah yang berusia 20 tahun.

Baki aksi pusingan kelima Piala FA akan berlangsung pertengahan minggu ini berikutan cuti singkat musim sejuk saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:51 AM