GUARDIOLA (kanan) berang dengan kualiti bola yang digunakan dalam perlawanan Piala Liga menentang Wolverhampton. -Foto Agensi
GUARDIOLA (kanan) berang dengan kualiti bola yang digunakan dalam perlawanan Piala Liga menentang Wolverhampton. -Foto Agensi
Reuters

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengkritik berat bola perlawanan yang digunakan dalam Piala Liga selepas pasukannya gagal menjaringkan gol pada aksi pusingan keempat sebelum menang 4-1 menerusi penentuan penalti ke atas Wolverhampton Wanderers, pagi tadi.

Pendahulu Liga Perdana itu sudah meledak 32 gol dalam lima perlawanan setakat ini, lebih daripada pasukan lain, tetapi gagal untuk memecahkan kebuntuan jaringan berdepan kelab liga Kejuaraan yang menyaksikan perlawanan berakhir 0-0.

Penjaga gol, Claudio Bravo menyelamatkan dua penalti daripada pemain Wolves untuk membantu City meraih kemenangan dan Guardiola menyalahkan bola Mitre sebagai punca pasukannya gagal meledak gol.

“Ia tidak boleh diterima, bola itu tidak boleh dipakai untuk kejohanan bertaraf tinggi,” kata Guardiola selepas perlawanan.

“Ia terlalu ringan, tidak berat. Ia bukan bola yang bagus. Tidak mungkin untuk menjaringkan gol dengan bola seperti itu dan saya boleh kata begitu sebab kami menang.

“Saya bukan mahu memberi alasan. Semua pemain saya maklumkan. Maaf, Piala Carabao, tapi ia bukan bola yang sesuai untuk kejohanan yang bagus.”

Bravo dikritik hebat kerana prestasi kurang menyerlah sejak menyertai City pada 2016 dan bintang Brazil, Ederson menjadi penjaga gol pilihan pertama Guardiola musim ini.

“Tanpa Claudio, kami tidak mungkin akan ke pusingan seterusnya,” tambah Guardiola. “Saya sangat gembira untuk dia kerana ia sentiasa tidak menjadi perkara yang mudah.

“Dia menyelamatkan banyak situasi penting buat pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 9:10 PM