RIERA berkata kualiti pelatih kelab itu boleh dibanggakan khususnya dari segi corak permainan dua sentuhan bola. FOTO Ihsan Kerteh FC
RIERA berkata kualiti pelatih kelab itu boleh dibanggakan khususnya dari segi corak permainan dua sentuhan bola. FOTO Ihsan Kerteh FC
BERNAMA

Kuala Terengganu: Kelab bola sepak komuniti Kerteh FC kini mengorak langkah besar selepas menerima sentuhan Oscar Riera, pemilik RieraSport iaitu sebuah akademi bola sepak berpangkalan di Barcelona, Sepanyol.

Presiden Kerteh FC Mohd Razeman Mat Nashim berkata kerjasama bertaraf antarabangsa itu dicapai setelah Riera dilantik sebagai penasihat teknikal kelab bola sepak yang bertapak di Pekan Kerteh itu.

"Kerteh FC dan Oscar mula bekerjasama sejak 1 Mei 2020 dan sepanjang pandemik Covid-19 kami hanya berkomunikasi secara dalam talian. Kini, beliau berada di sini bermula Isnin lepas untuk berkongsi ilmu serta kepakarannya dengan jurulatih dan pelatih Kerteh FC.

"Sebagai penasihat teknikal, beliau bertanggungjawab membentuk Kerteh FC dengan menyediakan metodologi latihan kepada para pemain dan jurulatih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Razeman berkata menerusi 10 hari jadual Riera di Kerteh, ia akan dipenuhi dengan sesi latihan di dalam kelas dan di atas padang.

"Beliau turut melawat dan bertemu pasukan bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan Kerteh yang berada di bawah 'program gabungan' Kerteh FC yang menerima faedah kejurulatihan, barangan, peralatan serta tempat latihan yang disediakan kelab," katanya.

Sementara itu, dalam reaksinya selepas turun padang bersama kelab yang berstatus pasukan Liga M5 itu, Riera berkata kualiti pelatih kelab itu boleh dibanggakan khususnya dari segi corak permainan dua sentuhan bola yang diterapkan.

"Umumnya, saya lihat pelatih mampu menyerap teknik permainan yang saya bawa dalam tempoh singkat. Begitu juga barisan kejurulatihan setiap peringkat umur kelab ini yang cukup berkualiti dan faham metodologi diterapkan," katanya.

Riera berkata beliau juga tertarik dengan corak permainan tiga pelatih kelab itu Muhammad Hafiq Aiman Mohd Zaid, Muhammad Haziq Zahid dan Muhammad Fariz Juprizal yang menurutnya berpotensi dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Riera yang juga bekas Pengurus Sukan Antarabangsa di RCD Espanyol turut merancang untuk membawa ketiga-tiga pemain itu bermain dalam sistem bola sepak remaja di Sepanyol, sekiranya ada mana-mana pihak yang sudi menaja kos mereka ke sana.

Riera yang bekas Pegawai Eksekutif di 26 buah akademi bola sepak dengan jumlah pelatih lebih 8,000 orang dari seluruh dunia, adalah anak kepada bekas kapten pasukan kebangsaan Sepanyol dan kelab RCD Espanyol pada era 60-an iaitu Julian Riera.

Untuk rekod, Kerteh FC di bawah pemilikan dan pengurusan syarikat KAL Services Sdn Bhd pernah menjadi Juara Liga Perdana dan Juara Liga Amatur Terengganu (TAL) pada 2019 dan bakal menyertai Liga Bola Sepak Terengganu Bawah 12 dan 17 tahun serta pasukan utama yang dijangka bermula Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 7:51 PM