MESYUARAT Koperasi Penyokong Kelab Bola Sepak Kerteh Berhad (KPKBKB) yang kali pertama dianjurkan. FOTO KERTEH FC
MESYUARAT Koperasi Penyokong Kelab Bola Sepak Kerteh Berhad (KPKBKB) yang kali pertama dianjurkan. FOTO KERTEH FC
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kelab bola sepak komuniti dari Terengganu, Kerteh FC mencipta sejarah sebagai kelab bola sepak komuniti pertama menubuhkan koperasi bagi berkongsi manfaat dengan seluruh komuniti Kerteh dan penyokongnya.

Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim berkata status koperasi yang dinamakan Koperasi Penyokong Kelab Bola Sepak Kerteh Berhad (KPKBKB) itu sebagai kelab bola sepak komuniti pertama menubuhkan koperasi telah disahkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Terengganu Selatan (Kemaman).

"Alhamdulillah, kita telah berjaya mengadakan mesyuarat agung permulaan di Dewan Sivik Kerteh semalam dengan hampir 60 orang telah menghadiri mesyuarat ini yang bertujuan untuk melantik Ahli Lembaga Koperasi (ALK), membentuk serta meluluskan undang-undang kecil KPKBKB.

"Setakat ini kita telah menerima maklum balas menggalakkan menerusi pendaftaran awal seramai hampir 200 orang yang terdiri daripada penyokong Kerteh FC yang juga para ibu bapa pelatih-pelatih akademi Kerteh FC untuk menjadi ahli koperasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka juga bersetuju melantik Hazran Mohamed sebagai Pengerusi KPKBKB.

Sementara itu, Mohd Razeman berkata pihaknya meletakkan sasaran awal menarik seramai lebih kurang 3,000 ahli selain menawarkan yuran istimewa untuk tempoh tiga bulan pertama bagi mereka yang mendaftar awal sebagai ahli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 9:42 PM