PEMAIN Kerteh FC ketika menjulang trofi Liga Amatur Terengganu (TAL) pada 2019. FOTO Ihsan Kerteh FC
PEMAIN Kerteh FC ketika menjulang trofi Liga Amatur Terengganu (TAL) pada 2019. FOTO Ihsan Kerteh FC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Status amatur tidak menghalang kelab Liga M4, Kerteh FC mengorak langkah menjalin kerjasama dengan agensi sukan antarabangsa dari Australia, Ghazoo Sports.

Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC, Syed Khairi Amier Syed Radzuan berkata, usaha sama selama dua tahun itu meliputi prospek komersial di New Zealand dan Australia termasuk mewujudkan kerjasama dengan pasukan bola sepak profesional di dua negara berkenaan.

"Kelab yang diberi gelaran 'The Oiler' yang berpusat di Kemaman ini mencapai perjanjian dengan Ghazoo Sports untuk menjalin kerjasama dan meneroka pelbagai peluang komersial selain turut berperanan dalam program pembangunan pemain muda dengan mewujudkan kerjasama bersama pasukan bola sepak profesional di Australia dan New Zealand.

"Kerjasama ini menyerupai usaha sama sedia ada dengan agensi dari Sepanyol, Riera Sports dan ketika ini kami bergerak maju rancangan lima tahun dengan profil kelab bola sepak sudah berada pada tahap yang sangat memuaskan biarpun setakat ini belum ada lagi pemain yang dihantar berlatih dengan mana-mana kelab kerana wabak pandemik Covid-19.

"Tapi hasrat kami untuk bersaing di peringkat tertinggi tetap utuh dan kami

berharap dapat melakukannya dengan pemain tempatan yang berpengalaman

bermain di luar negara kerana yakin Ghazoo Sports berpotensi membantu

mendorong bakat muda kami.

"Kini pelatih kelab kami dilatih mengikut 'DNA' kelab yang disediakan Penasihat Teknikal Kerteh FC, Oscar Riera yang juga bekas Pengurus Sukan Antarabangsa kelab La Liga, Espanyol," kata Syed Khairi Amier kepada Sukan NSTP.

Sementara itu, Pengarah Ghazoo Sports, Ghaz Ramli berkata, keghairahan peminat bola sepak di rantau Asia Tenggara ini mendorong agensi berkenaan menjalin kerjasama dengan kelab berkenaan.

"Terdapat keghairahan bola sepak yang luar biasa dari rakan kami di rantau ini, jadi kami harap dapat memanfaatkan pengalaman dan hubungan kami di Australia dan Malaysia untuk membantu pertukaran kepakaran teknikal dan pembangunan komersial," katanya.

Sebelum ini Kerteh FC yang ditubuhkan pada 2018 dan pernah muncul Liga Amatur Terengganu pada 2019, menandatangani perjanjian perkongsian dengan IMC Sports and Entertainment yang menyaksikan agensi sukan itu sebagai wakil eksklusif penjualan penajaan untuk kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 2:27 PM