PEMAIN Manchester City, Riyad Mahrez, Raheem Sterling dan Ruben Dias berlatih menjelang perlawanan menentang Real Madrid, awal pagi esok. FOTO REUTERS
PEMAIN Manchester City, Riyad Mahrez, Raheem Sterling dan Ruben Dias berlatih menjelang perlawanan menentang Real Madrid, awal pagi esok. FOTO REUTERS
Agensi

London: Ia sebenarnya perlawanan antara Liga Perdana Inggeris dan La Liga apabila empat kelab bertarung di separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, minggu ini.

Di England, Manchester City dan Liverpool bertarung sengit untuk merebut gelaran domestik dan mereka akan berdepan wakil Sepanyol, Real Madrid dan Villarreal.

Mampukah kita menyaksikan satu lagi final antara kelab Inggeris? Mampukah Villarreal mengejutkan Liverpool dan jangkaan ramai?

Apakah Carlo Ancelotti berjaya merangkul gelaran keempat di Eropah? Itu persoalan yang bakal terjawab dalam masa dua minggu ini.

Liga Perdana Inggeris diwakili dua pasukan teratas yang bersaing sesama sendiri untuk merebut beberapa gelaran utama, musim ini.

City yang akan melayan kunjungan Real, awal pagi esok, serta Liverpool adalah pasukan pilihan untuk memenangi aksi separuh akhir, sekali gus meneruskan penguasaan England di Liga Juara-Juara Eropah.

Selepas gagal mara ke final selama lima musim berturut-turut antara 2013 hingga 2017, kelab Liga Perdana Inggeris menjadi lima finalis dalam lapan perlawanan akhir, termasuk dua daripada tiga yang terakhir menyaksikan pertembungan sesama sendiri.

Bagi Liverpool, situasi itu sudah menjadi kebiasaan dan kini memburu final kali ketiga dalam lima musim termasuk tewas kepada Real Madrid pada 2018 sebelum menewaskan Tottenham untuk menjulang trofi pada 2019, yang juga gelaran Eropah keenam mereka.

Mereka turut berharap trofi Liga Juara-Juara Eropah adalah salah satu daripada empat piala untuk melakar sejarah musim ini.

Mereka sudah memenangi Piala Carabao, melangkah ke final Piala FA dan ketinggalan satu mata di belakang City ketika aksi Liga Perdana Inggeris berbaki lima perlawanan.

City pula berharap untuk mencipta nama di Eropah dan menebus kekecewaan tumpas 0-1 di final ketika menentang Chelsea, tahun lalu.

Mereka cemerlang di peringkat domestik, tetapi Liga Juara-Juara Eropah sudah pasti keutamaan bagi pasukan yang berbelanja besar di bawah Guardiola, yang memenangi trofi Eropah dua kali ketika mengendalikan Barcelona.

Di antara musim 2015-16 dan 2017-18, Real Madrid sangat hebat di Eropah apabila menang tiga gelaran berturut-turut ketika dikendalikan Zinedine Zidane dan pasukan itu dipenuhi pemain terbaik di dunia.

Bagaimanapun, pasukan ketika ini yang dikendalikan Carlo Ancelotti tidak sama hebatnya, tetapi masih memiliki beberapa pemain bintang daripada era berkenaan dan tahu memenangi perlawanan apabila kini 15 mata di tangga teratas La Liga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 9:38 AM