UNAI EMERY
UNAI EMERY
Agensi

LONDON: Unai Emery berkata Arsenal kini memantau beberapa perjanjian perpindahan berpotensi tetapi mengakui mungkin tidak dapat memperkuatkan skuadnya pada Januari depan.

Bos The Gunners itu meluahkan kebimbangan terhadap peluang kelab itu mengakhiri saingan Liga Perdana di kelompok empat terbaik selepas rekod 22 perlawanan tanpa kalah berakhir di tangan pasukan yang bergelut prestasinya, Southampton.

Beliau bagaimanapun gembira dengan perkembangan pasukannya musim ini dan mengakui adalah sukar untuk mendapatkan pemain tumpuan ketika jendela perpindahan bulan hadapan.

Ditanya jika beliau mempunyai peruntukan kewangan yang cukup sebelum tarikh tutup 31 Januari ini, Emery berkata: “Ia bukanlah mudah. Saya tak yakin mampu melakukannya bulan depan dan kelab hanya berminat dengan pemain yang boleh membantu kami dengan meningkatkan lagi tahap permainan atau menjadikan lebih baik daripada sekarang.

“Kami juga memberi peluang kepada pemain muda dan terbukti mereka juga mampu menyumbang kepada kemajuan kelab ini.” 

Arsenal berdepan masalah pertahanan menjelang misi getir menentang seteru London, Tottenham dalam aksi suku akhir Piala Carabao, awal pagi Khamis.

Sead Kolasinac tidak dapat beraksi ketika menentang Southampton akibat kecederaan otot paha manakala pertahanan kanan Hector Bellerin terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan betis dan menurut Emery dia mungkin direhatkan untuk beberapa minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 8:56 AM