PEMAIN Terengganu FC, Tcheche Kipre (kanan) diasak pemain PJ City FC, Zainal Abidin Jamil (dua kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu FC, Tcheche Kipre (kanan) diasak pemain PJ City FC, Zainal Abidin Jamil (dua kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) gagal membalas dendam kekalahan lalu ke atas Petaling Jaya City FC (PJ City FC) selepas sekadar seri tanpa jaringan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada April lalu, skuad PJ City FC melakar kemenangan bergaya 3-0 menundukkan TFC.

Dengan keputusan itu, skuad Penyu berjaya melonjak di tangga kelima liga dengan mengutip 17 mata manakala PJ City FC kesebelas dengan 12 mata.

Terdahulu jangkaan 2,360 peminat setia TFC untuk menyaksikan aksi menarik ditampilkan kedua-dua pasukan ternyata meleset kerana tidak banyak percubaan tepat dilakukan penyerang skuad Penyu dan The Phoenix.

Sepanjang babak pertama, hanya tiga percubaan tepat dimiliki skuad kendalian Nafuzi Zain pada minit ke-13 dan 32 menerusi kapten, Kipre Tchetche, namun gagal menemui penyudah.

Begitu juga percubaan daripada pemain sayap, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim pada minit ke-33 gagal disudahkan dengan jaringan oleh Mohd Faisal Halim yang menolak tinggi melepasi palang gol.

Skuad PJ City FC kendalian P Maniam yang mengamalkan corak permainan 'berkampung' di kawasan sendiri gagal mendapat sebarang peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan.

Bersambung babak kedua, TFC yang mendominasi permainan menukar rentak permainan lebih pantas dan hampir memecah kebuntuan menerusi Nik Muhammad Sharif Haseefy pada minit ke-46 dan Mohd Faisal tiga minit berselang, tapi percubaan dua pemain itu juga gagal menemui jaringan.

Sedar sukar untuk memecahkan kekebalan benteng pelawat, Nafuzi memasukkan Muhamad Syafik Ismail dan Mohamad Rahmat Makasuf bagi menajamkan lagi jentera serangan, namun masih gagal menemui sentuhan jaringan.

Sebaliknya pelawat hampir di depan menerusi serangan pantas pada minit ke-62, tapi rembatan penyerang Harimau Malaya, Darren Lok sedikit sipi di sebelah kanan pintu gol tuan rumah.

Usaha berterusan tuan rumah untuk memburu jaringan hampa kerana kekentalan benteng pelawat dan keputusan muktamad kekal 0-0.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 11:16 PM