PENGENDALI PDRM FC, Azzmi Ab Aziz akui pemainnya kini berada pada tahap motivasi terbaik untuk berdepan TFC malam esok. FOTO The Cops.
PENGENDALI PDRM FC, Azzmi Ab Aziz akui pemainnya kini berada pada tahap motivasi terbaik untuk berdepan TFC malam esok. FOTO The Cops.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: PDRM FC menghormati reputasi pasukan Terengganu FC (TFC) apabila dua pasukan itu bakal bertembung pada aksi keempat Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Pengendalinya, Azzmi Ab Aziz berkata, pasukannya lebih selesa digelar 'underdog' kerana skuad kendalian jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbrukner itu adalah antara pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) walaupun setakat ini belum lagi merakam kemenangan dan jaringan.

Bagaimanapun bekas pemain kebangsaan itu yang baharu kali pertama bergelar ketua jurulatih dalam saingan Liga Super menjelaskan, anak buahnya sudah bersedia untuk berdepan dengan Sang Penyu walaupun beraksi di tempat lawan dengan ribuan peminat fanatik tuan rumah.

Katanya, kejayaan menumpaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 selain anak buahnya bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan menyuntik lagi motivasi pemainnya yang kini berada pada tahap prestasi terbaik untuk mengulangi pencapaian itu di Kuala Terengganu.

"Alhamdulillah semua persiapan pasukan berjalan dengan lancar selain mereka berada pada tahap prestasi terbaik dan begitu positif selain tiada sebarang kecederaan dan penggantungan untuk bertandang ke Kuala Terengganu menentang TFC selepas menumpaskan KDA FC minggu lalu.

"Tapi kami tetap hadir sebagai pasukan 'underdog', kami hormati TFC antara pasukan terbaik dan terkuat liga walaupun setakat ini skuad itu masih tercari-cari rentak selain belum lagi merakam kemenangan dan jaringan serta menghuni di kedudukan tercorot liga.

"Kami pesan kepada pemain perlu berwaspada dengan ancaman dan kebangkitan skuad itu lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri selain pastinya mereka bagaikan 'harimau terluka'.

"Namun kami sudah bersedia untuk berdepan dengan naib juara Liga Super musim lalu itu dan semestinya kami tidak akan sesekali memberikan lawan bermahajarajalela kerana misi kami juga mahu mengutip mata," katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad Sang Saka Biru itu kini menghuni di tangga keenam liga selepas mengumpul empat mata sesudah merakam satu kemenangan dan satu seri manakala TFC di tangga tercorot dengan hanya mengutip satu mata selepas tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 2:24 PM