Konate menjalani latihan sebagai persiapan menentang Sri Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam esok. FOTO Ihsan TFC
Konate menjalani latihan sebagai persiapan menentang Sri Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam esok. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Arkitek Terengganu FC (TFC), Makan Konate melaungkan keyakinan untuk memperagakan aksi terbaiknya bagi memastikan skuad Penyu tidak 'berputih mata' di laman sendiri berdepan pasukan jiran, Sri Pahang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Pemain kebangsaan Mali itu juga turut menuntut rakan sepasukannya agar dapat mengekalkan momentum permainan bermula dari awal perlawanan lagi dalam misi mengutip tiga mata.

Bekas pemain T-Team itu berkata, kejayaan menundukkan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) Rabu lalu bakal menambah lagi tonik pasukannya untuk mengelak keciciran mata pada aksi ke-18 liga itu.

"Saya yakin dan percaya jika kami bekerja lebih keras lagi dan beraksi mengikut keupayaan dan perancangan pasukan, kami mampu merakam kemenangan ke atas pasukan jiran itu.

"Kemenangan penting untuk mengekalkan kedudukan di tempat kedua liga selain mengelak perbezaan mata yang lebih jauh dengan pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Namun kami perlu berhati-hati kerana pasukan lawan sudah pasti hadir dengan impian tinggi untuk mengutip tiga mata.

"Tapi kami sudah bersedia untuk turun ke padang berganding bahu sepanjang 90 minit dengan mengharapkan rakan sepasukan tidak melakukan kesilapan mudah sebaliknya memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri," katanya ketika dihubungi.

Aksi malam esok pasti dinantikan peminat selain dijangka bekas pemain import Sri Pahang, Lee Tuck yang juga bekas kapten TFC bakal membuat penampilan kali pertama bersama skuad Penyu musim ini sebagai pemain pinjaman selepas pulih daripada kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 5:48 PM