PENYERANG Jerman, Thomas Mueller (kiri) cuba melepasi pemain pertahanan Itali, Alessandro Bastoni pada perlawanan 4 Jun lalu. FOTO AFP
PENYERANG Jerman, Thomas Mueller (kiri) cuba melepasi pemain pertahanan Itali, Alessandro Bastoni pada perlawanan 4 Jun lalu. FOTO AFP
AFP

Berlin: Jurulatih Jerman, Hansi Flick mengingatkan anak buahnya supaya terus fokus pada perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Hungary di Budapest, Sabtu ini, apabila penyokong tuan rumah dijangka mengganggu mereka.

"Semua orang sudah biasa bermain banyak perlawanan dalam suasana hangat," kata Flick, hari ini.

"Banyak tiupan wisel (daripada penyokong Hungary), tetapi sebaik pengadil meniupkan wisel, fokus sudah tentu kepada perlawanan."

Terdapat kisah di antara pasukan Jerman dan penyokong Hungary pada aksi peringkat kumpulan kempen Euro 2020 yang berkesudahan seri 2-2 di Munich, Jun tahun lalu.

Selepas menjaringkan gol penyamaan, pemain tengah Jerman, Leon Goretzka membuat isyarat hati dengan tangan ke arah penyokong Hungary, yang berpaling membelakangi padang ketika lagu kebangsaan Jerman dimainkan sebelum sepak mula perlawanan.

Thomas Mueller berkata, isyarat dibuat Goretzka untuk menunjukkan perasaan pasukan itu kepada penyokong pasukan pelawat, yang melakukan provokasi terhadap pemain Jerman di sepanjang perlawanan.

"Tindakan Leon itu adalah spontan dan reaksi bagus terhadap apa yang berlaku," kata Mueller, hari ini.

"Penyokong Hungary tidak menunjukkan reaksi terbaik mereka. Tetapi isyarat Leon adalah isi hati kami."

Hungary mencatatkan kemenangan mengejut 1-0 di tempat sendiri ke atas England, Sabtu lalu, apabila pemain pelawat dicemuh penyokong di Budapest kerana melutut untuk mempromosi anti perkauman sebelum sepak mula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 10:14 PM