NAGY (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
NAGY (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Budapest: Jerman terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Hungary di Budapest hari ini yang juga keputusan seri ketiga berturut-turut mereka pada perlawanan Kumpulan A3 kempen Liga Negara-Negara.

Hungary mengejutkan Jerman selepas hanya enam minit menerusi rembatan Zsolt Nagy sebelum Jonas Hofmann menyamakan kedudukan tiga minit kemudian hasil percubaan solo yang baik.

Keputusan itu melebarkan rekod tanpa kalah skuad bimbingan Hansi Flick kepada 12 perlawanan tetapi pada masa sama berdepan kekecewaan apabila masih gagal melakar kemenangan selepas tiga perlawanan di kempen Liga Negara-Negara.

"Kami mahu mendapatkan tiga mata hari ini tetapi gagal. Kami harus mengambil pengajaran daripada perlawanan ini," kata Flick.

"Sudah tentu kami kecewa tetapi anda perlu akui bahawa Hungary adalah pasukan yang sukar untuk ditemui," kata kapten Jerman, Manuel Neuer kepada stesen penyiar RTL.

Skuad kendalian Marco Rossi juga seri dengan Jerman pada Jun lalu dalam peringkat kumpulan Euro 2020.

Nagy menceriakan penyokong tuan rumah di Puskas Arena apabila meledak gol dari jarak dekat seawal minit ke-6.

Tetapi kegembiraan penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila Hofmann menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 7:37 AM