FLICK menyenaraikan kembali pemain Dortmund, Suele. FOTO Reuters
FLICK menyenaraikan kembali pemain Dortmund, Suele. FOTO Reuters
AFP

Berlin: Hansi Flick mengetepikan pemain utama, Timo Werner dan Leon Goretzka daripada skuad Jerman untuk perlawanan persahabatan September, manakala Pascal Gross dari Brighton mendapat panggilan pertamanya.

Sembilan bulan sebelum Jerman menjadi tuan rumah Euro 2024, jurulatih Flick memutuskan untuk tidak menyenarai semula pemain veteran, Thomas Mueller, manakala kapten Manuel Neuer meneruskan pemulihannya selepas patah kaki.

Joshua Kimmich dari Bayern Munich berkemungkinan akan menjadi ketua pasukan ketika ketiadaan Neuer.

Gross, 32, mendapat panggilan Jerman pertamanya, selepas bermain untuk kelab Liga Perdana Inggeris, Brighton sejak 2017.

Flick menyenaraikan kembali pemain Borussia Dortmund, Niklas Suele di bahagian pertahanan, termasuk pemain tengah Bayern, Jamal Musiala, yang kini sedang pulih daripada kecederaan paha.

"Semua orang kini perlu melupakan ego mereka dan berkhidmat kepada pasukan," kata Flick.

Beliau berkata sedang mencari pemain 'yang memberi tenaga kepada pasukan, sambil berkata: "Pasukan adalah bintang, bukan individu."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 7:40 PM