PENJAGA gol Peter Gulacsi menyelamatkan percubaan penyerang England, Jude Bellingham. -FOTO EPA
PENJAGA gol Peter Gulacsi menyelamatkan percubaan penyerang England, Jude Bellingham. -FOTO EPA
AFP

Paris: Pasukan England yang berdepan dengan keletihan terpaksa akur akan kekalahan apabila tewas mengejut 0-1 kepada Hungary dalam aksi Liga Negara-Negara Uefa.

Bintang RB Leipzig, Dominik Szoboszlai meledakkan gol tunggal perlawanan yang terhasil daripada sepakan penalti pada separuh masa kedua di Budapest menyaksikan Hungary berjaya menewaskan England buat kali pertama sejak 1962.

Kekalahan menerusi sepakan penalti kepada Itali ketika perlawanan akhir Kejuaraan Eropah tahun lalu adalah satu-satunya kekalahan Gareth Southgate dalam 22 perlawanan sebelum itu.

"Kami buktikan di Euro 2020 kami mampu lakukan menentang pasukan terbaik dan kami buktikan sekali lagi. Perkara yang sukar adalah untuk mengulanginya," kata kapten Hungary, Adam Szalai.

Skuad England menyaksikan penampilan sulung pemain pertahanan Leicester City, James Justin dan penyerang West Ham United, Jarrod Bowen namun pelawat gagal menewaskan tuan rumah yang beraksi di hadapan 30,000 penonton yang sebahagian besarnya terdiri daripada kanak-kanak sekolah.

"Mereka sangat kecewa kerana kami mahu terus memenangi perlawanan. Jika kami mahu menjadi pasukan yang berada di peringkat teratas dalam bola sepak, kami perlu datang dan ke sini dan menang." kata Southgate sebelum mengakui faktor kelebihan penyebab kekalahan mereka.

"Ia menjadi satu musim yang panjang. Kepanasan dan mengambil kira beberapa perkara di kalangan pemain.

Hungary sebelum ini terpaksa beraksi secara tertutup berikutan tindakan penyokong yang menimbulkan kekecohan ketika Euro 2020.

Namun garis panduan yang dikeluarkan Uefa membenarkan kanak-kanak di bawah umur 14 tahun diberi tiket percuma dengan Persekutuan Bola Sepak Hungary mengambil peluang yang diberikan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 7:59 AM