SOUTHGATE mengendalikan sesi latihan England  di St George's Park, Burton upon Trent, Britain. FOTO Reuters
SOUTHGATE mengendalikan sesi latihan England di St George's Park, Burton upon Trent, Britain. FOTO Reuters
AFP

Milan: Jack Grealish mempertahankan pengurus England, Gareth Southgate yang berdepan kritikan keras susulan prestasi buruk Three Lions pada musim panas.

Ketika Piala Dunia pada November menjadi tumpuan England, skuad Southgate kini dalam bahaya tersingkir daripada saingan peringkat kumpulan Liga Negara-Negara menjelang aksi menentang Itali di Milan pada awal pagi Sabtu ini.

England gagal mencapai kemenangan dalam empat perlawanan Liga Negara-Negara pada Jun termasuk kekalahan memalukan kepada Hungary di Wembley.

Southgate menjadi mangsa kritikan pedas tetapi pemain sayap Manchester City dan England, Grealish percaya ia tidak adil buat pengurus yang membawa negaranya ke final Euro 2020 dan separuh akhir Piala DUnia 2018.

"Kami mara ke final tahun lalu dan kemudian menentang Hungary (kami tewas 0-1) pada permulaan kempen terakhir.

"Saya fikir sebelum itu kami tewas selepas 90 minit ketika menentang Belgium pada November 2020," kata Grealish.

"Jadi, pendapat saya kritikan itu keterlaluan terutamanya jika anda melihat pada Piala Dunia lalu dan Euro. Anda boleh lihat betapa bagus pasukan ini dan pengurusnya sendiri.

"Ia jelas agak keras tetapi kadang-kadang itu yang anda dapat jika anda seorang Inggeris. Bagi saya ia perlu adil!"

Grealish turut dikritik selepas kurang menyerlah di Liga Perdana Inggeris bersama City sejak berpindah dari Aston Villa tahun lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan gol pertamanya musim ini ketika menang 3-0 di Wolves Sabtu lalu dengan rakan sepasukan Kevin De Bruyne berpendapat pemain Inggeris menjadi sasaran kritikan yang tidak adil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 9:53 AM