PERCATURAN jurulatih England, Gareth Southgate (kiri) dan pengendali Jerman, Joachim Loew akan menentukan pasukan mara ke suku akhir Euro 2020, hari ini. - FOTO AFP
PERCATURAN jurulatih England, Gareth Southgate (kiri) dan pengendali Jerman, Joachim Loew akan menentukan pasukan mara ke suku akhir Euro 2020, hari ini. - FOTO AFP
AFP

London: England boleh membalas dendam sejak beberapa dekad ke atas Jerman apabila dua kelab gergasi itu bertemu di pusingan kedua Euro 2020, hari ini.

Anak buah Gareth Southgate akan melayan Jerman di Wembley dan ia akan menjadi perlawanan terbesar di tempat sendiri pertama dalam tempoh 25 tahun.

England menewaskan Jerman untuk memenangi Piala Dunia 1966, tetapi pertembungan mereka di kejohanan utama selepas itu memihak kepada Jerman.

Kekalahan di suku akhir Piala Dunia 1970 meranapkan impian England mempertahankan kejuaraan, manakala kekalahan di separuh akhir Piala Dunia 1990 menerusi sepakan penalti, masih mengecewakan seluruh negara.

Pada ketika England kali terakhir menganjurkan kejohanan di tempat sendiri iaitu Euro 96, Southgate muncul individu mengecewakan apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti penentuan di separuh akhir.

Selain itu, kekalahan besar turut dialami di Piala Dunia 2010 yang dianggap menambah luka dalam episod pertemuan kedua-dua pasukan, tetapi Southgate menegaskan perlawanan hari ini bukan peluang menghapuskan badi kegagalan silam mereka.

Sebaliknya, dia percaya ini adalah peluang kepada pemainnya untuk menambah kenangan baharu dalam kisah peribadi mereka.

"Seperti yang saya katakan sejak dulu, pasukan ini memiliki banyak pencapaian unik dan fokus saya adalah membantu mereka berjaya," kata Southgate.

"Ini mengenai pemain kami. Ini adalah saat dan kesempatan buat mereka."

Ditanya sama ada kesakitannya di Euro 96 memberi motivasi tambahan kepada pemain untuk menang bagi pihaknya, Southgate berkata: "Tidak, walaupun ia menyedihkan. Saya tidak fikir kami akan bergantung kepada kisah itu.

"Jadi, tidak, perlawanan ini mengenai mereka. Ini mengenai peluang mereka mencapai sesuatu dan bukan untuk saya mengambil sesuatu terhadapnya."

England tidak pernah menang Kejuaraan Eropah dan kemenangan ke atas Jerman adalah yang kedua di peringkat kalah mati dalam sejarah kejohanan.

Sebaliknya, Jerman sudah tiga kali bergelar juara Eropah dengan yang terbaru pada 1996, tetapi mereka bertandang ke London dengan situasi bimbang tewas kepada England.

Anak buah Joachim Loew layak ke pusingan kedua selepas seri 2-2 dengan Hungary pada perlawanan terakhir Kumpulan F.

Jerman bukan lagi pasukan yang menakutkan lawan sambil Loew akan meletak jawatan selepas Euro 2020 berakhir, jadi kekalahan bermakna tamatlah satu era.

Sekalipun menang Piala Dunia 2014, Loew dikritik hebat selepas tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 dan beberapa kekalahan sebelum Euro 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 8:37 PM