PENGURUS England, Gareth Southgate (tengah) dan Phil Foden kelihatan kecewa selepas kekalahan England, awal pagi tadi. FOTO REUTERS
PENGURUS England, Gareth Southgate (tengah) dan Phil Foden kelihatan kecewa selepas kekalahan England, awal pagi tadi. FOTO REUTERS
AFP

Manchester: Kurang setahun lalu, Gareth Southgate dianggap wira negara apabila membimbing England ke final kejohanan utama buat kali pertama dalam 55 tahun, tetapi kini dalam bahaya selepas dibelasah 0-4 oleh Hungary.

Kekalahan terburuk England di gelanggang sendiri sejak 1928 itu menyaksikan the Three Lions berdepan kemungkinan tersingkir daripada saingan utama Liga Negara-Negara UEFA.

Tetapi, sejauh mana kesan daripada keaiban itu menjejaskan persiapan Southgate menjelang Piala Dunia Qatar 2022, lima bulan lagi, menjadi persoalan.

England kini hanya memiliki baki dua perlawanan iaitu bertandang ke Itali dan melayan Jerman pada September, sebelum memulakan kempen Piala Dunia menentang Iran pada 21 November.

Peralihan kepada Piala Dunia musim sejuk untuk mengelak bahang cuaca panas di Qatar mengubah kalendar bola sepak yang memaksa pasukan kebangsaan bermain empat perlawanan bulan ini, selepas berhempas pulas beraksi bersama kelab.

Juara dunia, Perancis turut menduduki tangga tercorot kumpulan Liga Negara-Negara UEFA tanpa kemenangan selepas empat perlawanan manakala bintang Belgium, Kevin De Bruyne dan pengurus Belanda, Louis van Gaal mengkritik jadual padat itu.

Southgate turut memberi alasan sama sebagai faktor England gagal menang dalam empat perlawanan berturut-turut iaitu pencapaian pertamanya selepas enam tahun membimbing pasukan.

"Ini adalah jadual perlawanan yang cukup unik," katanya.

"Saya sedar mengenainya sebelum ini kerana tahu terpaksa membuat perubahan dan tidak boleh menurunkan pemain terkuat untuk setiap perlawanan.

"Saya cuba memberikan pengalaman kepada pemain muda dan merehatkan beberapa pemain utama yang difikirkan sudah mengharungi musim panjang.

"Kami memerlukan mereka di Piala Dunia nanti dan kami tidak mahu merosakkan mereka."

Kapten, Harry Kane dan Raheem Sterling pantas menutup mulut pengkritik Southgate dengan menyatakan pengurus itu bukan saja membawa pasukan ke final Euro 2020, malah separuh akhir Piala Dunia 2018.

Bagaimanapun, pengurus berusia 51 tahun itu menjadi mangsa cemuhan penyokong yang kecewa apabila Hungary berpesta di Wolverhampton.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 9:53 PM