ATTILA Szalai (tengah) menjadi tonggak penting Hungary. FOTO EPA
ATTILA Szalai (tengah) menjadi tonggak penting Hungary. FOTO EPA
AFP

Budapest: Impian pasukan bukan pilihan, Hungary untuk memberi saingan dalam Kumpulan F mungkin banyak disandarkan kepada gandingan RB Leipzig, Peter Gulacsi dan Willi Orban dalam usaha mengekang ancaman pemain bintang seperti Cristiano Ronaldo serta Kylian Mbappe.

Namun barisan pertahanan lain juga tampak mempamerkan aksi meyakinkan terutama pemain Fenerbahce, Attila Szalai, 23, yang sering diturunkan sejak melakukan penampilan pertama di bawah bimbingan Marco Rossi dua tahun lalu.

Dengan pemain paling kreatif Hungary, Dominik Szoboszlai tidak tersenarai kali ini kerana mengalami kecederaan, Szalai memberitahu media Hungary dia serta rakan sepasukan pastinya akan 'sibuk' menghalang asakan lawan.

Hungary akan bertemu Portugal tengah malam esok dan juara dunia, Perancis (19 Jun) di Puskas Arena dekat Budapest sebelum bertemu Jerman di Munich pada 23 Jun.

"Tapi kami mahu mencipta kejutan dan sekurang-kurangnya meraih satu mata atau keputusan lebih baik dengan mengutip beberapa mata," kata Szalai.

Beraksi dengan pasukan bawahan Hungary, Mezokovesd dua tahun lalu, dia kemudian berhijrah ke Apollon Limassol pada Jun 2019 sebelum menyertai gergasi Turki, Fenerbahce, Januari lalu.

Pantas berjaya memikat hati penyokong Fenerbahce, Szalai sudah menjaringkan tiga gol sepanjang 22 penampilan musim ini.

"Pastinya lebih menarik jika saya dapat menjaringkan gol untuk skuad kebangsaan," kata Szalai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 10:17 AM